Notification

×

Iklan

Iklan

PAS jamin tidak guna dasar menekan rakyat di Sarawak, Sabah - Takiyuddin

| November 22, 2022 WIB | 0 Views Last Updated 2022-11-22T01:50:59Z
PAS menghormati kemajmukan rakyat Malaysia - Takiyyudin

KUALA LUMPUR— PAS tidak akan menggunakan kedudukan kerusi yang lebih dalam kerajaan untuk melaksanakan dasar bagi menekan mana-mana pihak terutama di Sarawak dan Sabah yang rakyatnya menjalani kehidupan harmoni mengikut adat resam serta agama masing-masing.


Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata parti itu amat tegas dalam mematuhi prinsip Islam iaitu ‘tiada paksaan dalam beragama’ dan individu bukan Islam tidak boleh dipaksa menganut agama tersebut melainkan atas kerelaan serta kefahaman sendiri.



Ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata PAS sentiasa menghormati kepelbagaian dan kemajmukan rakyat Malaysia serta mengakui hak dan kebebasan mereka mengamalkan cara hidup masing-masing dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan, lapor Bernama.


"PAS telah membuktikan perkara ini setelah menunjukkan keterbukaan termasuk menjamin hak rakyat pelbagai kaum dan agama dalam pemerintahan yang diterajui di Kelantan lebih 30 tahun," menurutnya dalam kenyataan malam tadi.


Beliau berkata PAS memberi jaminan akan terus mengamalkan konsep musyawarah dan perbincangan dengan semua rakan kongsi meskipun mempunyai jumlah kerusi terbesar dalam kalangan parti yang akan membentuk Kerajaan Persekutuan kelak.


Takiyuddin juga berkata para pemimpin dan ahli PAS yang terdiri daripada pelbagai latar belakang pendidikan dan kelayakan termasuk sebilangan besar profesional mampu melaksanakan tanggungjawab masing-masing apabila diberikan kedudukan serta peranan di dalam kerajaan dan agensinya.


Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Sabtu lepas, PAS yang merupakan komponen Perikatan Nasional tampil sebagai parti paling banyak memenangi kerusi Parlimen iaitu 49 manakala Bersatu 24.


PRU15 berakhir dengan situasi Parlimen tergantung apabila tiada parti atau gabungan politik mendapat majoriti mudah untuk membentuk Kerajaan Persekutuan.

×
Berita Terbaru Update