Nancy 'tukar angin' ke Santubong?

Poster pilihan raya mengenai kedudukan kerusi Parlimen Nancy Shukri yang ‘bocor’ dan tular di media sosial sejak semalam.

KUCHING— Penyandang kerusi Parlimen Batang Sadong, Datuk Seri Nancy Shukri, calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) dijangka bertukar angin pada  Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).


Jangkaan ini tercetus selepas poster pilihan raya mengenai kedudukan kerusi Parlimen beliau ‘bocor’ dan tular di media sosial sejak semalam.


Naib Ketua Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan Ahli Parlimen Batang Sadong tiga penggal itu menggantikan Ahli Parlimen empat penggal Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang memutuskan untuk berundur. 


Wan Junaidi telah mengesyorkan Setiausaha Politiknya, Syed Hamzah Syed Paie menggantikannya sebagai calon Santubong PRU15.


Pencalonan beliau akan dibuat secara rasmi apabila Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengeluarkan senarai calonnya untuk 31 kerusi Parlimen di Sarawak hari ini.


Nancy dijangka menjadi Ahli Parlimen Santubong selama satu penggal sahaja.


Keputusan GPS untuk menukar Nancy dari Batang Sadong ke Santubong bermakna Syed Hamzah yang masih muda harus bersabar dan perlu menunggu pilihan raya umum akan datang.


Wan Hamzah tidak mungkin akan diletakkan di Batang Sadong atau pun di bekas kawasan pilihan raya Wan Junaidi di Batang Lupar pada pilihan raya kali ini.


Wan Junaidi adalah Ahli Parlimen Batang Lupar selama tiga penggal dari 1990 hingga 2000 sebelum berpindah ke Santubong pada 2004.

Next Post Previous Post