Notification

×

Iklan

Iklan

Mula-mula gusar tapi lega bila GPS jadi pilihan rakyat, kata Nanta

| November 11, 2022 WIB | 0 Views Last Updated 2022-11-11T01:19:54Z
Nanta Linggi dan Uggah Embas semasa sesi bertemu rakyat di rumah panjang, Rh Jarup, di Sungai Sempadi dalam kawasan DUN Katibas, dekat sini.

SONG—Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS,) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi hari ini mendedahkan bahawa beliau agak gusar tentang penerimaan rakyat terhadap GPS dan lambang Kenyalang (Enggang) apabila gabungan itu bertanding buat kali pertama dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-12 tahun lepas.


Katanya, beliau rasa lega apabila kini lambang politik itu menjadi pilihan rakyat terutamanya di kebanyakan kawasan luar bandar kerana GPS berjaya memenangi 76 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dalam pilihan raya selain menyapu bersih kerusi DUN Katibas, Pelagus, Bukit Goram dan Balleh di Bahagian Kapit.



“Oleh itu, keputusan Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk membentuk GPS adalah tepat dan disokong oleh rakyat Sarawak," katanya pada sesi bertemu rakyat di rumah panjang, Rh Jarup, di Sungai Sempadi dalam kawasan DUN Katibas, dekat sini.


Pada majlis yang turut dihadiri Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas itu, Nanta berkata beliau yakin GPS mampu bertindak cemerlang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di mana beliau mempertahankan kerusi Parlimen Kapit.


“Perasaan gembira dalam kalangan orang ramai untuk GPS masih ada. Rakyat telah berikrar untuk menyokong GPS,” katanya, sambil menambah GPS kukuh sekarang tetapi rakyat boleh menjadikannya lebih kuat dengan memilih lebih ramai ahli Parlimen daripada gabungan itu, lapor Bernama.


Nanta berkata beliau yakin dapat mengekalkan kerusi Parlimen Kapit yang disandangnya selama lima penggal sejak 1999 kerana pencabarnya hanya bergantung kepada pembohongan dan tuduhan semata-mata untuk menjatuhkannya.


Ketika menyeru rakyat untuk menolak mereka, beliau berkata mereka tidak mempunyai rancangan, strategi dan peruntukan untuk melaksanakan sebarang pembangunan yang berkesan.


Beliau berkata jika GPS menang dengan meyakinkan dan diminta membantu membentuk kerajaan Persekutuan maka gabungan itu akan meminta lebih banyak jawatan menteri.


Sementara itu, Nanta, yang merupakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, menafikan beliau tidak berbuat banyak sebelum pembubaran Parlimen untuk membendung kenaikan harga makanan dan keperluan lain.


Menurutnya, banyak tuduhan itu adalah keterlaluan semata-mata.


“Pada 2020, kementerian diberi peruntukan sebanyak RM150 juta untuk subsidi. Pada 2021, saya berjaya meningkatkannya jumlah subsidi kepada RM200 juta," katanya.

×
Berita Terbaru Update