Notification

×

Iklan

Iklan

Mahkamah benar saman 122 pembeli rumah di Cyberjaya terhadap syarikat pembinaan

| November 04, 2022 WIB | 0 Views Last Updated 2022-11-04T00:17:11Z

KUALA LUMPUR— Mahkamah Tinggi di sini membenarkan saman 122 pembeli rumah di Cyberjaya terhadap syarikat pembinaan Wawasan Rajawali Sdn Bhd.


Peguam V. Rajadevan, yang mewakili kesemua plaintif, berkata Hakim Datuk Akhtar Tahir membuat keputusan itu selepas bersetuju dengan hujahnya bahawa Wawasan Rajawali memberikan gambaran salah dalam risalah bahawa projek tersebut adalah pembangunan bercampur terdiri daripada kediaman, hotel, pusat beli-belah dan taman digelar sebagai ‘Your World In One Place’ yang gagal diserah kepada pembeli seperti dijanjikan, lapor Bernama.


Beliau berkata Wawasan Rajawali, anak syarikat milik penuh OSK Property Holdings Sdn Bhd, telah diperintah membayar RM50,000 kepada setiap pembeli rumah kerana memberikan gambaran yang salah. 


"Hakim turut memerintahkan agar pampasan dibayar bagi penyerahan lewat berjumlah RM1,351,797 kepada pembeli rumah yang terjejas. Ganti rugi teruk berjumlah RM2 juta juga diberikan kepada mereka. Wawasan Rajawali juga diarah membetulkan kecacatan hartanah terbabit dalam tempoh tiga bulan mulai hari ini," kata Rajadevan ketika dihubungi, semalam.


Prosiding semalam dijalankan secara dalam talian selepas perbicaraan penuh. 


Masing-masing empat saksi plaintif dan pembelaan telah memberi keterangan sepanjang perbicaraan kes itu.


Kesemua plaintif memfailkan saman pada Mei 2019 selepas mendakwa Wawasan Rajawali telah menawarkan unit pangsapuri perkhidmatan/kondominium di Cyberjaya dengan membuat representasi di dalam risalah yang diedarkan kepada pembeli.


Dakwa plaintif, antara representasi itu ialah unit kondominium yang dijual adalah sebahagian daripada projek pembangunan bercampur yang antara lain termasuk pusat beli-belah, hotel dan taman.


Kesemua plaintif mendakwa mereka bersandarkan kepada representasi defendan dalam membuat keputusan untuk membeli kondominium terbabit pada harga yang tinggi.


Bagaimanapun, selepas memperoleh milikan kosong, mereka mendapati janji defendan mengenai pembangunan bercampur tidak ditepati dan tidak ada sebarang projek pembangunan komersial seperti pusat beli-belah, hotel dan taman yang dibina berdasarkan representasi itu.

×
Berita Terbaru Update