Limbang putus bekalan telur marhaen...


Limbang dihantui masalah bekalan telur, cuma gred C selenium (kayangan) RM18. 80 sepapan tiba


LIMBANG—Selepas putus seminggu, bekalan telur ayam tiba sedikit hari ini, namun harganya kini meningkat sehingga RM18.80 sepapan bagi telur Gred C.


Dalam tempoh beberapa bulan, bekalan telur dilaporkan stabil. Namun seminggu selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), masalah kekurangan bekalan telur kembali meresahkan pengguna di sini.


Seorang peniaga yang ditemui Borneo Network berkata, harga telur masih dijual mengikut gred yang sama sejak beberapa bulan ini. Namun katanya, bekalan terhad memandangkan sebahagian pasar raya masih menunggu bekalan tiba di sini.


Suri rumah yang hanya dikenali sebagai Ellen, 52 berkata, dia terpaksa turun ke kedai tiga kali semata-mata untuk membeli telur ayam.


“Kami hanya dibenarkan membeli sepapan telur ayam, jadi saya terpaksa ‘bersenam’ hari ini dengan turun ke bandar buat kali ketiga. 


“Memang susah hendak mendapatkan telur selepas PRU15 ini,” katanya.




Peniaga makanan di Bangunan Tamu Limbang Herlina Ramjah, 48, berkata kekurangan bekalan telur turut menjejaskan peniagaan kuih-muihnya.


“Saya terpaksa mengurangkan jumlah kuih berbanding kebiasaan. Bekalan telur selalu tidak cukup, malah bekalan seminggu pun susah nak dapat,” kata ibu kepada lapan orang anak itu.


Menurut Herlina, sebelum ini beliau mampu menjana sehingga RM200 pendapatan dalam sehari namun kini menyusut RM100 kerana kekurangan bekalan telur.





Anny Miran, 54, dari Kampung Tuna berharap pihak kerajaan dapat menyeragamkan harga telur di pasaran.


“Terdapat pasar raya yang menjual telur ayam Gred C RM18.80 manakala sesetengah pasar raya menjual RM15,”katanya.


Beliau turut berharap Kerajaan Perpaduan yang diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat mencari langkah menyelesaikan dilema penduduk di Sarawak selain mengembalikan subsidi barang keperluan lain seperti tepung.


“Kalau boleh, harga telur dapat dikurangkan dan diseragamkan dan subsidi barang keperluan lain seperti tepung dikembalikan,”ujarnya lagi.
Next Post Previous Post