Lebuhraya Limbang-Lawas menyamai Cape Town, South Africa, kata Abang Johari

Wanita Lun Bawang memakaikan Abang Johari topi tradisional atau ‘Sigar’ ketika menyambut ketibaannya di Lawas. Gambar kredit Pejabat Premier Sarawak

LAWAS— Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg menzahirkan harapan untuk membangunkan Lebuhraya Limbang-Lawas seakan-akan jalan di Cape Town, South Africa yang terkenal dengan pemandangan menarik.


Abang Johari mengambil contoh Chapman’s Peak Drive, antara lebuh raya tercantik di dunia, yang dibina antara dataran gunung yang ikonik serta keindahan laut Atlantik saujana mata memandang.


Gambar kredit Pejabat Premier Sarawak


“Kita akan mempunyai lebuh raya seumpama ini antara Limbang dan Lawas. Saya melihat lebuh raya ini kelak seakan-akan lebuh raya di Cape Town di South Africa.


“Malah ia dijangka lebih cantik kerana kawasan kita ini mempunyai dataran gunung yang cantik sekaligus dapat menjadi tarikan kepada pelancong,” katanya berucap pada Program Sarawakku Sayang yang disiarkan Unit Komunikasi Sarawak (UKAS) melalui Facebook.


Pemimpin nombor satu Sarawak itu berkata, jalan Limbang - Lawas akan dihubungkan ke Miri melalui Brunei.


“Di Miri, kita akan bina satu lagi jalan dari Marudi ke Long Terawan dan menghubungkan Gunung Buda seterusnya ke Limbang 


“Ini bermakna anda akan mempunyai dua jalan sama ada melalui Miri, Marudi ke Limbang atau melalui Brunei,” kata Abang Johari.

Next Post Previous Post