Lahaji tekad naik taraf infrastruktur Batang Sadong
Lahaji Lahiya |
SIMUNJAN— Calon Pakatan Harapan (PH) Batang Sadong, Lahaji Lahiya bertekad untuk menaik taraf kemudahan infrastruktur di kawasan tersebut sekiranya dipilih menjadi wakil rakyat.
Jelasnya, ini kerana masih terdapat beberapa kemudahan dalam keadaan daif termasuk bangunan sekolah di kawasan tersebut.
Lahaji (tengah) bersama pencadangnya, Kuswadie Abang (kanan) dan penyokongnya, Aboi Timbong (kiri). |
"Terdapat beberapa sekolah belum dibaiki atau dinaik taraf bahkan ada yang masih menggunakan bahan kayu untuk pembinaan bangunan," katanya ketika ditemui pemberita selepas proses penamaan calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di Dewan Mesra Simunjan, di sini hari ini.
Setiausaha Parti Amanah Negara (Amanah) Sarawak itu menambah beliau berasa kecewa dan tidak berpuas hati dengan isu berkenaan.
"Hanya beberapa sekolah yang dinaik taraf menggunakan simen dan bahan lain yang berkualiti. Pembangunan tersebut penting demi memberi keselesaan kepada rakyat.
Ketiadaan lampu jalan pada waktu malam juga masih menjadi isu utama penduduk di sini. Justeru, saya akan berusaha menangani masalah tersebut jika diberi peluang," katanya.
Calon berusia 71 tahun yang merupakan pesara guru dan pesara pegawai pendidikan Jabatan Pendidikan Negeri menyertai Amanah pada 2015.
Pertama kali menyertai pilihan raya, antara misi utamanya adalah menyelamatkan Malaysia daripada rasuah, salah guna kuasa dan membantu negara menjadi lebih progresif.
"Ramai tokoh masyarakat, termasuk kebanyakannya ahli politik terlibat dengan kes-kes rasuah.
"Disebabkan itu saya menyertai Amanah dan bertanding di bawah payung Pakatan Harapan (PH),” kata Lahaji.