Ahmad Zahid berdepan ‘Giant Killer’ Shamsul Iskandar di Bagan Datuk, dua lain

Zahid Hamidi di PPC Dewan Gemilang Sekolah Menengah Sains Bagan Datoh hari ini.


BAGAN DATUK—Dalam mempertahankan kerusi Parlimen Bagan Datuk buat kali kelima, cabaran ketara Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu dilihat datang daripada calon Pakatan Harapan (PH) Datuk Shamsul Iskandar Mohd Akin, yang pernah dirujuk sebagai "Giant Killer” selepas mengalahkan bekas Ketua Menteri Melaka dalam pilihan raya pada 2013.


Dua lagi pencabarnya di kerusi parlimen itu ialah calon Perikatan Nasional (PN), Dr Muhammad Faiz Na'aman serta calon bebas Mohamed Tawfik Tun Dr Ismail, lapor Bernama.


Shamsul Iskandar yang juga bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan dan Ketua  Penerangan PKR pernah membuat kejutan mengalahkan bekas ketua menteri Melaka Tun Mohd Ali Rustam di kerusi Parlimen Bukit Katil pada 2013 dan mengekalkannya pada 2018 ketika ia ditukar nama kepada Hang Tuah Jaya. 


Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Bagan Datuk, Muhamad Ghopran Yeop Hamzah membuat pengumuman senarai calon bagi kerusi parlimen itu di Dewan Gemilang Sekolah Menengah Sains Bagan Datoh.


Pada PRU14, Ahmad Zahid Hamidi berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Bagan Datuk dengan menang majoriti 5,073 undi selepas mendapat 18,909 undi menewaskan Pakhrurrazi Arshad (PKR) yang memperoleh 13,836 undi dan calon PAS, Ata Abdul Muneim Hasan Adli (4,061 undi).


PN mempertaruhkan Muhammad Faiz yang merupakan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu manakala Mohamed Tawfik yang turut mencuba nasib merebut kerusi Parlimen Bagan Datuk pernah menjadi Ahli Parlimen Sungai Benut, Johor di bawah Barisan Nasional (BN) pada tahun 1986.


Sementara itu, di Parlimen Pasir Salak penyandang kerusi parlimen berkenaan, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman hadir memberikan sokongan kepada penggantinya, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak Khairul Azwan Harun yang mewakili BN, dan keadaan jelas tenang, tanpa sebarang unsur sabotaj.


Kerusi Parlimen itu menyaksikan pertandingan empat penjuru antara BN, PN, PH dan Gerakan Tanah Air (GTA), demikian menurut Pegawai Pengurus Pilihan Raya Pasir Salak Nurhisyam Karno ketika membuat pengumuman senarai calon, di Dewan Millenium Kompleks Pentadbiran Daerah Kecil Kampong Gajah.


Di kerusi Parlimen Pasir Salak, Khairul Azwan akan bersaing dengan calon daripada PH iaitu Nik Omar Nik Abdul Aziz (PKR) dan Jamaluddin Yahya (PAS) mewakili PN manakala GTA meletakkan Zairol Hizam Zakaria (Putra). 


Seramai 58,183 pengundi berdaftar di kawasan Parlimen Bagan Datuk layak mengundi pada PRU15 manakala 74,631 pengundi pula di Parlimen Pasir Salak.

Next Post Previous Post