Komputer riba percuma kepada pelajar M40, guru jika BN menang - Ahmad Zahid

BN sedia memanjangkan pemberian komputer riba secara percuma kepada pelajar M40, Komputer riba percuma kepada pelajar M40 dan guru jika BN menang
Pelajar M40 dan guru di seluruh negara akan turut menerima bantuan komputer riba percuma untuk pembelajaran dan pengajaran- Ahmad Zahid

SUNGAI BESAR—Barisan Nasional (BN) sedia memanjangkan pemberian komputer riba secara percuma kepada pelajar M40 dan para guru sekiranya memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Pengerusinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.


"Pelajar M40 dan guru di seluruh negara akan turut menerima bantuan komputer riba percuma untuk pembelajaran dan pengajaran... Ini merupakan maklum balas secara langsung BN terhadap permintaan pengundi," katanya pada Program Budi Disanjung di Parit 16 Sungai Panjang di sini malam tadi, lapor Bernama.


Terdahulu, calon BN bagi kerusi Parlimen Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos, yang turut hadir pada program itu, berkata pihaknya menerima permohonan daripada para guru dan keluarga M40 agar mereka turut diberikan komputer riba bagi tujuan pembelajaran.


BN menampilkan manifesto Perancangan Amal dan Usaha (PADU) iaitu tawaran baharu kepada rakyat Malaysia yang mengandungi 99 amal dan usaha gabungan politik itu bagi mengemudi Malaysia ke arah negara maju.


Antara tawaran itu ialah pemberian komputer riba percuma kepada pelajar B40 dan memastikan 100 peratus liputan 5G di semua sekolah.


Ahmad Zahid juga berkata rakyat perlu memberikan mandat yang kuat kepada BN agar sebuah kerajaan stabil dapat ditubuhkan bagi mendepani kemelesetan ekonomi yang dijangka berlaku tahun depan.


"Pakar ekonomi menjangkakan kemelesetan ekonomi berlaku pada suku pertama tahun hadapan dan PRU15 yang diadakan pada tahun ini adalah tempoh yang sesuai supaya kerajaan baharu nanti dapat bersedia sepenuhnya," kata beliau.

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.