Khairy Jamaluddin tewas di Sungai Buloh
![]() |
Calon BN Khairy Jamaluddin tewas dalam pertandingan tujuh penjuru di kerusi Parlimen Sungai Buloh pada PRU15. Gambar Twitter |
SUNGAI BULOH— Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mengalami kekalahan pertama sejak bertanding dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 apabila tewas dalam pertandingan tujuh penjuru di kerusi Parlimen Sungai Buloh pada PRU15.
Datuk R. Ramanan daripada Pakatan Harapan menang dengan majoriti 2,693 selepas memperoleh 50,943 undi manakala Khairy, 46, pula meraih 48,250 undi diikuti calon Perikatan Nasional Mohd Ghazali Md Hamin (29,060), wakil Pejuang Mohd Akmal Mohd Yusoff (829) dan Naib Presiden Parti Rakyat Malaysia Ahmad Jufliz Faiza (279).
Calon Bebas iaitu Syed Abdul Razak Syed Long Alsagoff dan Nurhaslinda Basri masing-masing mendapat 165 dan 113 undi, lapor Bernama.
Keputusan itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Mohd Jusni Hashim di Dewan Kenanga, Pejabat Tanah dan Daerah Petaling malam tadi.
Kemenangan PH itu menyaksikan calonnya daripada PKR memenangi kerusi berkenaan selama empat penggal berturut-turut.
Daripada sejumlah 130,846 undi yang diterima, 945 daripadanya rosak manakala 262 lagi tidak dikembalikan.
Bercakap kepada pemberita, Ramanan mengucapkan terima kasih kepada semua pengundi di Sungai Buloh, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan semua jentera parti atas kemenangan itu.
Beliau turut mengulangi janji akan menyumbangkan sepenuhnya gaji sebagai Ahli Parlimen kepada rumah ibadat pelbagai agama dan kebajikan di bawah Parlimen itu, seperti yang ditandatangani dalam surat pengisytiharan.
Khairy, Ahli Parlimen Rembau selama tiga penggal, tidak mempertahan kerusi itu yang menyaksikan Timbalan Presiden UMNO dan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan bertanding kali ini.
Pada PRU 2018, R. Sivarasa daripada PKR menang di Parlimen Sungai Buloh dengan majoriti 26,634 undi untuk mempertahan kerusi itu yang dimenanginya sejak 2008.
PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.