Notification

×

Iklan

Iklan

GRS sertai kerajaan perpaduan, capai majoriti dua pertiga Parlimen - Anwar

| November 25, 2022 WIB | 0 Views Last Updated 2022-11-25T09:38:02Z
Kerajaan Perpaduan Anwar kini disertai PH, BN, GPS dan GRS.

PUTRAJAYA— Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkata kerajaan perpaduan pimpinannya telah mencapai majoriti dua pertiga melalui penyertaan terkini oleh Gabungan Rakyat Sabah (GRS).


Bercakap pada sidang media pada hari pertamanya memasuki Pejabat Perdana Menteri di Perdana Putra di sini hari ini, Anwar berkata perkara itu dimaklumkan kepadanya oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor yang juga Pengerusi GRS.


“Ini akan memperkukuh kestabilan politik negara dan boleh menumpukan perhatian dalam kerja-kerja mengangkat martabat negara, mengukuhkan ekonomi dengan maksud untuk membela nasib rakyat,” katanya.


Jumlah kerusi diperlukan untuk mendapatkan majoriti dua pertiga Dewan Rakyat adalah 148 kerusi, lapor Bernama.


Mengenai pembentukan Kabinet, Anwar berkata saiznya akan diperkecilkan dan beliau akan meminta persetujuan daripada ahli-ahli yang akan dilantik nanti untuk mengurangkan gaji mereka.


Menurutnya, pembentukan Kabinet masih dalam perbincangan dan akan diumumkan segera mungkin.


Anwar berkata beliau akan merujuk kepada parti-parti terlibat berhubung pembentukan Kabinet.


“Parti masing-masing akan mengusulkan nama. Jadi, saya harus berikan pertimbangan sedemikian,” katanya ketika ditanya mengenai pecahan anggota Kabinet mengikut parti.


Pada sidang media sulungnya sebagai perdana menteri malam tadi, Anwar menegaskan kerajaan perpaduan yang dibentuk dengan penyertaan beberapa parti akan memastikan kestabilan negara dan ekonomi serta menjunjung semangat Perlembagaan Persekutuan.


Beliau berkata tiga komponen terbesar yang membentuk kerajaan perpaduan adalah Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).


Anwar sebelum ini dilaporkan berkata akan mengecilkan saiz Kabinet kepada maksimum 25 menteri sahaja berbanding jumlah 31 menteri dalam pentadbiran bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

×
Berita Terbaru Update