2 bot nelayan tempatan ditahan gaji pekerja asing tanpa kebenaran

Bot nelayan beserta pekerja asing yang digaji tanpa kebenaran ditahan APMM. Gambar kredit APMM

BINTULU— Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM Bintulu ) berjaya menahan dua buah bot nelayan tempatan kerana disyaki menggajikan pekerja asing tanpa kebenaran selang dua hari.


Menurut Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kapten Maritim Mohd Khairol, penahanan pertama dilakukan pada 22 November sekitar jam 12.30 tengah hari pada jarak lapan batu nautika dari Kuala Balingian.



Dalam pada itu katanya, penahanan kedua pula pada 24 November sekitar jam 6.00 petang pada jarak lebih kurang 7 batu nautika dari Sungai Likau.

 

"Penahanan ini dibuat semasa aset Zon Maritim Bintulu melakukan rondaan rutin dan telah mengesan kedua-dua vesel dalam keadaan mencurigakan," ujarnya dalam kenyataan hari ini.

 

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua bot terbabit masing-masing dikendalikan oleh empat kru termasuk tekong yang mana kesemuanya merupakan warga Indonesia berumur dalam lingkungan umur 24 hingga 68 tahun yang mana kesemua kru bagi kedua-dua bot terbabit mempunyai dokumen pengenalan diri iaitu passport tetapi tidak mempunyai permit untuk bekerja di atas vesel nelayan daripada Jabatan Perikanan Malaysia dan Jabatan Imigresen Malaysia.

 

"Semakan ke atas pasport mendapati terdapat beberapa kru bagi kedua-dua bot yang telah memasuki Malaysia semenjak bulan Julai 2022 menggunakan pas lawatan tetapi tidak keluar semula Malaysia semula sehingga pada tarikh ditahan yang mana memasuki Malaysia menggunakan pas lawatan hanya sah selama 30 hari sahaja," ujarnya.

 

Maritim Malaysia katanya turut menyita dua buah vesel, peralatan menangkap ikan jenis pukat tunda dan pukat hanyut, beserta 80 kilogram ikan campur yang dipercayai baru ditangkap bagi vesel pertama dan 1,000 kilogram ikan campur pada bot yang kedua.

 

Kesemua kru beserta bot nelayan kemudiannya ditahan dan diiringi ke Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Bintulu untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi siasatan lanjut.

 

Kedua-dua bot terbabit  akan disiasat di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana telah melanggar syarat sah lesen kerana menggaji pekerja asing tanpa kebenaran yang mana boleh dikenakan kompaun daripada Jabatan Perikanan Malaysia.

Next Post Previous Post