GRS lancar manifesto PRU15 bertunjangkan 13 teras

Manifesto itu antara lain menuntut semula penguasaan 35 peratus kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak - Hajiji Noor

KOTA KINABALU— Gabungan Rakyat Sabah (GRS) hari ini melancarkan manifesto untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang digubal bertunjangkan 13 teras yang mengambil kira pandangan serta sentimen rakyat, kata Pengerusinya Datuk Seri Hajiji Noor.


Ketua Menteri Sabah itu berkata teras pertama adalah memperkasakan ekonomi negeri dan rakyat Sabah menerusi tiga sektor utama iaitu pertanian, perindustrian dan pelancongan, manakala teras kedua bermatlamat memperkasakan pengurusan sumber tenaga antaranya mengambil alih pengurusan Sabah Electricity Sdn Bhd di samping meneroka lebih banyak sumber tenaga baharu atau tenaga boleh diperbaharui.


Katanya meneruskan usaha tuntutan ke atas hak-hak negeri Sabah daripada kerajaan Persekutuan berdasarkan Perlembagaan Malaysia dan Perjanjian Malaysia 1963 menjadi teras ketiga sementara memastikan kerajaan Persekutuan meningkatkan tahap keselamatan dan fasiliti pendidikan dengan menaik taraf sekolah daif, serta menambah baik kemudahan kesihatan merupakan teras keempat, lapor Bernama.


Beliau berkata teras kelima pula memberi tumpuan kepada  pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat; keenam mahu menggalakkan penglibatan belia dalam arus pembangunan negara dan ketujuh memperkasakan urus tadbir perkhidmatan awam Sabah," katanya ketika berucap melancarkan manifesto itu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini.


Turut hadir pemimpin komponen GRS iaitu Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili; Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Datuk Seri Dr Jefffry Kitingan; Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Seri Yong Teck Lee dan Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) Tan Sri Pandikar Amin Mulia.


Manifesto itu turut meletakkan sasaran meningkatkan penglibatan dalam industri minyak dan gas sebagai teras kelapan, selain memberi keutamaan kepada pelaksanaan prasarana kemudahan asas terutama menyegerakan pembinaan lebuh raya Pan Borneo menjadi teras kesembilan. 


Menerusi teras ke-10, Hajiji berkata ia menyediakan kemudahan perumahan rakyat antaranya mempercepatkan pelaksanaan Program Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) sebanyak 1,500 buah selain memperbaiki pengurusan tanah antaranya pengeluaran geran yang menjadi teras ke-11.


Katanya memastikan kestabilan politik, perpaduan kaum, keadilan dan kesejahteraan rakyat merupakan teras ke-12 manifesto manakala teras ke-13 adalah untuk terus menuntut semula penguasaan 35 peratus kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak.


Menurut Hajiji manifesto itu juga digarap bertunjangkan empat perjuangan utama GRS iaitu Sabah Diutamakan, Sabah Melangkah ke Hadapan, Sabah Maju Jaya dan Sabah yang Bersatu.


"Sesungguhnya, manifesto GRS ini meletakkan kepentingan negeri dan rakyat secara keseluruhannnya.  Apa yang ditawarkan juga adalah kejayaan yang kita capai selama dua tahun pemerintahan dan akan diteruskan demi kepentingan seluruh rakyat," katanya.


Sementara itu, Hajiji berkata kerjasama GRS dan Barisan Nasional (BN) dalam mentadbir Sabah telah mencipta kestabilan politik, keharmonian serta suasana kondusif yang mudahkan pentadbiran dan pembangunan negeri untuk rakyatnya.


"Atas kejayaan demi kejayaan yang dicapai, mandat yang diberikan rakyat kepada GRS dan BN untuk membentuk kerajaan negeri pada Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-16 (tahun 2020) perlu diteruskan pada PRU15 kali ini," katanya.


Hajiji berkata Sabah masih jauh ketinggalan meskipun telah berlaku kemajuan dan perubahan maka GRS serta semua pihak perlu bekerja lebih keras dan cerdas, pantas dan tangkas demi membawa Negeri di Bawah Bayu itu maju ke mercu kejayaan yang boleh dibanggakan.


"Kita boleh melakukan itu semua jika kita bersatu padu kerana hanya dengan perpaduan kita akan menjadi kuat. Kita juga akan dihormati sekiranya kita kuat dan bersatu dalam membawa suara dan perjuangan negeri dan rakyat," katanya.

Next Post Previous Post