GPS hanya sokong Perdana Menteri terbaik untuk Malaysia selepas PRU15, Nanta Linggi


KUCHING— Gabungan Parti Sarawak (GPS) mempunyai kebebasan mutlak, tidak terikat untuk menyokong mana-mana parti atau diwajibkan untuk menamakan mana-mana individu sebagai Perdana Menteri, itu perlu difahami semua pihak.


Setiausaha Agung GPS, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, GPS tidak mengamalkan politik bermusuhan, atau mengisytiharkan hanya mahu bekerjasama dengan satu atau dua rakan. 


“Kami akan duduk berbincang, kerana apa yang lebih utama, siapapun yang akan bekerjasama dengan kami, kami perlu meyakini bahawa persefahaman itu terbaik untuk negara ini, dan itu adalah prinsip asas GPS.


Selepas Pilihan Raya Umum ke-15, kita meneliti perkara ini termasuk siapa Perdana Menteri, siapa juga menjadi rakan mesti kuat serta dapat menjamin kestabilan politik kepada Malaysia,” katanya selepas merasmikan Bangunan Pejabat SSM Negeri Sarawak di sini hari ini.


“Keadaan sudah berubah dan bukan lagi berada dalam satu era di mana suatu kerjasama politik diadakan sebelum pilinan raya.


Kita mesti menerima hakikat bahawa banyak negara maju juga mengamalkan kerjasama politik selepas pilihan raya,” katanya


Prinsip utama GPS ialah menubuhkan sebuah kerajaan yang kuat serta menjamin kesejahteraan rakyat, dan bukannya institusi goyah yang bertukar Perdana Menteri dua atau tiga kali, tegasnya.

Next Post Previous Post