Notification

×

Iklan

Iklan

Enggan pakai tali pinggang keledar, pendaratan penerbangan Bali-Singapura tertangguh

| November 16, 2022 WIB | 0 Views Last Updated 2022-11-16T06:03:50Z
Pendaratan penerbangan Bali-Singapura tertangguh gara-gara sekumpulan penumpang enggan memakai tali pinggang keledar semasa mendarat. Gambar Tik Tok|audiKhalid

SINGAPURA— Singapore Scoot mengesahkan berlaku satu insiden membabitkan penerbangan TR285 dari Bali ke Singapura pada Isnin (14 Nov) mengakibatkan pesawat milik syarikat penerbangan tambang murah itu terpaksa mendarat menerusi percubaan kedua di Lapangan Terbang Changi.


“Disebabkan kelakuan tidak terkawal sekumpulan penumpang termasuk keengganan memasang tali pinggang keledar semasa mendarat, kapten kami mengambil langkah sewajarnya demi keselamatan penerbangan,” menurut syarikat itu dalam satu kenyataan sebagai respons terhadap video TikTok mengenai insiden itu.


Scoot memaklumkan penerbangan itu mendarat dengan selamat semasa percubaan kedua di Lapangan Terbang Changi dan penumpang yang terlibat diiring keluar dari pesawat oleh pihak berkuasa lapangan terbang bagi siasatan lanjut, lapor Bernama.


Menurut Unit Singapore Airlines: “kesejahteraan pelanggan dan kakitangan menjadi keutamaan dan pihaknya tidak membenarkan sebarang  tingkah laku yang boleh menjejaskan keselamatan penerbangan."


Scoot memaklumkan bahawa pihaknya akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana penumpang yang mungkin membahayakan keselamatan pelanggan dan kakitangannya.


“Scoot dengan ikhlas memohon maaf atas gangguan dan kesulitan yang berlaku kepada pelanggan kami. Memandangkan siasatan masih dijalankan, kami menggalakkan orang ramai untuk mengelak membuat spekulasi,” menurut kenyataan itu.


Dalam video itu, satu pengumuman dipercayai dibuat oleh Kapten memaklumkan penumpang bahawa beliau memutuskan terpaksa melengahkah pendaratan dan akan membuat percubaan kali kedua untuk mendarat.


“Ini kerana saya dimaklumkan bahawa kita masih mempunyai penumpang yang gagal memakai tali pinggang keledar dengan selamat.


"Kami secara sah tidak boleh mendaratkan pesawat jika keadaan di kabin tidak selamat,” menurut pengumuman itu.


Menurut pengumuman itu lagi: "Kami kini terpaksa melakukan percubaan kali kedua untuk mendarat dan jika tidak berjaya atas sebab yang sama polis lapangan terbang akan mengambil tindakan yang perlu terhadap mereka yang terlibat."

×
Berita Terbaru Update