Notification

×

Iklan

Iklan

Budak perempuan maut disyaki didera bapa tiri sehingga usus pecah

| November 24, 2022 WIB | 0 Views Last Updated 2022-11-24T00:07:03Z
Punca kematian mangsa dipercayai daripada kesan hentakan objek tumpul pada bahagian kepala dan abdomen (perut) yang menyebabkan ususnya pecah. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR—Seorang kanak-kanak perempuan maut dipercayai akibat didera bapa tirinya dalam kejadian di Taman Sri Ramal, Kajang di sini pada Isnin lepas.


Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Zaid Hassan berkata pihaknya menerima laporan daripada seorang pegawai perubatan Hospital Serdang pada 12.39 tengah malam 22 Nov lepas berhubung seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun yang dibawa ke hospital itu.


Beliau berkata pegawai itu menyatakan Jabatan Kecemasan dan Trauma Zon Merah Hospital Serdang menerima kanak-kanak terbabit yang dibawa menggunakan ambulans dari rumahnya dalam keadaan tidak sedarkan diri pada 11.33 malam. 


“Hasil pemeriksaan didapati mangsa disahkan meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke hospital. Bedah siasat yang dijalankan oleh doktor pakar hari ini mendapati punca kematian mangsa dipercayai daripada kesan hentakan objek tumpul pada bahagian kepala dan abdomen (perut) yang menyebabkan ususnya pecah. 


“Selain itu, terdapat kesan-kesan cedera hingga lebam di bahagian punggung, dada dan lengan mangsa,” menurutnya dalam kenyataan malam tadi, lapor Bernama.


Sehubungan itu, seorang lelaki tempatan berusia 53 tahun yang merupakan bapa tiri mangsa telah ditahan di pekarangan Hospital Serdang bagi membantu siasatan pada  2.25 petang tadi.


Mohd Zaid berkata siasatan lanjut mendapati suspek mengaku ada memukul mangsa sebelum ini menggunakan tangan, kaki dan sebuah baldi di dalam tandas akibat marah dengan kanak-kanak perempuan itu yang didakwa sering membuat masalah di rumah semasa ketiadaan ibunya.


Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan bagi kesalahan membunuh manakala permohonan reman terhadap suspek akan dibuat esok.


“Polis menyeru supaya orang awam atau mana-mana individu yang mempunyai maklumat tentang kejadian ini agar memaklumkan kepada pihak polis dengan menghubungi mana-mana balai polis yang berdekatan ataupun berhubung terus dengan pegawai penyiasat kes ASP Ray Erindra Raj di talian 019-6616 640,” katanya.

×
Berita Terbaru Update