Notification

×

Iklan

Iklan

Belanjawan Sarawak sedia peruntukan RM10.797 bilion

| November 21, 2022 WIB | 0 Views Last Updated 2022-11-21T06:13:31Z
Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Abang Openg tiba dalam Mesyuarat penggal ke 3 Dewan Undangan Negeri Sarawak pagi ini.

KUCHING— Belanjawan Sarawak 2023 dijangka menjana lebihan RM238 juta dengan unjuran hasil RM11.035 bilion dan jumlah perbelanjaan biasa berjumlah RM10.797 bilion.


Ketika membentangkan belanjawan itu pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata belanjawan itu akan terus berkembang dan melabur banyak dalam infrastruktur dengan kesejahteraan rakyat sebagai terasnya.


“Secara ringkasnya, belanjawan Sarawak 2023 adalah pelan hala tuju yang strategik, komprehensif dan bersepadu untuk Sarawak pada masa hadapan. Walaupun proses perjalanannya mungkin tidak mudah, saya yakin kita boleh mengatasinya,” katanya, lapor Bernama.


Belanjawan yang dicadangkan bertemakan “Sarawak First: Towards an Inclusive, Prosperous and Harmonious Society” (Sarawak Didahulukan: Ke arah masyarakat yang inklusif, makmur dan harmoni) adalah berpaksikan kepada lima prinsip antaranya termasuk membangunkan ekonomi yang lebih berdaya tahan, berdaya saing dan saksama.


Abang Johari berkata 48 peratus atau RM5.246 bilion daripada unjuran hasil tahun depan akan diperoleh daripada cukai, royalti, premium, tarif, sewa tanah dan lain-lain manakala hasil bukan cukai berjumlah RM5.498 bilion.


“Terimaan bukan hasil dijangka berjumlah RM26 juta kebanyakannya daripada deposit tidak dituntut, lebihan bayaran diperoleh semula, ganti rugi dan penalti, ganti rugi berkaitan perhutanan, kompaun lain dan pelupusan kenderaan. Geran dan pembayaran balik Persekutuan dijangka berjumlah RM265 juta,” katanya.


Bagi perbelanjaan biasa tahun depan, beliau berkata RM3.997 bilion adalah untuk operasi manakala RM6.8 bilion untuk membiayai pelaksanaan pelbagai program dan projek pembangunan.


Abang Johari berkata ekonomi Sarawak bagi tahun ini dijangka berkembang antara 5.5 peratus hingga 6.5 peratus menerusi sokongan permintaan luar yang kukuh dan peningkatan dalam aktiviti ekonomi domestik.


Beliau berkata sektor pembuatan dan perkhidmatan Sarawak dijangka menjadi pemacu utama bagi tahun 2022 dengan pertumbuhan masing-masing sebanyak 6.8 dan tujuh peratus manakala sektor pembinaan diunjurkan berkembang pada lima peratus.

×
Berita Terbaru Update