Notification

×

Iklan

Iklan

Askar boleh dengar ceramah tetapi dilarang berkempen

| November 06, 2022 WIB | 0 Views Last Updated 2022-11-11T01:19:54Z
“Janganlah ada anggota kita yang turut bersama-sama memegang sepanduk parti politik dan terjerit di sana sini”. - Tan Sri Zamrose Mohd Zain. Gambar kredit Tentera Darat Malaysia

PORT DICKSON—Anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diingatkan supaya tidak terlibat secara langsung termasuk turun berkempen bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).


Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain berkata penglibatan secara langsung dalam proses pilihan raya boleh dianggap sebagai melanggar peraturan yang ditetapkan terhadap anggota ATM, lapor Bernama.


"Diharapkan janganlah ada anggota kita yang turut bersama-sama memegang sepanduk parti politik dan terjerit di sana sini... itu tidak kena caranya dan kita tidak benarkan. 


"Namun begitu kita tidaklah halang parti politik mana yang mereka ingin pilih atau sertai ceramah... itu pilihan masing-masing kerana mereka tetap boleh mengundi untuk menentukan masa depan negara.


“Diharapkan mereka dapat tunaikan tanggungjawab masing-masing apabila tiba hari mengundi nanti," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM) kepada 472 veteran ATM peringkat Negeri Sembilan di Kem Segenting di sini hari ini.


Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian pada 19 Nov dan pengundian awal pada 15 Nov.


Zamrose juga berkata ATM akan menambah lebih banyak latihan peralihan Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) yang relevan mengikut peredaran masa dan keperluan guna tenaga kerja negara.


Beliau berkata lima latihan peralihan sedia ada yang ditawarkan dilihat tidak mencukupi dan perlu penambahbaikan yang efektif.


"Setakat ini, PERHEBAT ada tawarkan kursus jangka panjang antara enam hingga 18 bulan bagi anggota yang bakal berpencen… kursus ini melibatkan bidang kejuruteraan mekanikal, reka bentuk dalaman, automotif, hospitaliti, keusahawanan dan pengajian pengurusan. 


"Namun kita dapati ramai bekas peserta tidak bekerja dalam bidang latihan yang mereka sertai... Kita akan buat analisis terhadap isu ini dan akan berusaha untuk tambah baik kursus sedia ada serta menambah kursus lain juga," katanya. 

×
Berita Terbaru Update