187 calon wanita bertanding PRU15

127 calon wanita akan bertanding di kerusi Parlimen, 60 calon di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perlis
Calon wanita GPS yang bertanding dalam PRU15.


KUALA LUMPUR— Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menyaksikan 127 calon wanita akan bertanding di kerusi Parlimen manakala 60 lagi calon di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perlis, Perak, Pahang dan Bugaya di Sabah.


Gabungan Parti Sarawak (GPS) terdiri daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) meletakkan lima calon wanita, Pakatan Harapan (PH) terdiri daripada PKR, DAP, Amanah dan UPKO meletakkan 39 calon wanita daripada 205 calon yang bertanding, dengan satu kerusi atas tiket pakatan politiknya MUDA, di Parlimen Tanjong Karang dan satu menggunakan logo DAP iaitu di Parlimen Lanang, Sarawak. 


Barisan Nasional (BN) yang terdiri daripada UMNO, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) mempertaruhkan 22 calon wanita daripada jumlah keseluruhan 178 calon, lapor Bernama.


Perikatan Nasional (PN) gabungan Bersatu, PAS dan Gerakan mempertaruhkan 16 calon wanita daripada 149 calon bertanding dengan dua daripada calonnya di Parlimen Tumpat dan Rantau Panjang menggunakan logo PAS. 


Gerakan Tanah Air (GTA) terdiri daripada Parti Pejuang Tanah Air  (Pejuang), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN) turut meletakkan 16 calon wanita daripada 116 calon yang bertanding dengan kesemuanya menggunakan logo Pejuang.


Sepuluh wanita akan bertanding atas tiket Bebas, enam bagi Parti Warisan dan selebihnya adalah calon dari parti lain-lain.


Peggy Chaw Zhi Ting, 23, adalah calon Bebas wanita paling muda bagi Parlimen Tenom manakala Datuk Liew Chin Jin, 70 atau lebih dikenali sebagai Datuk Christina Liew (PH-PKR)  pula calon wanita paling veteran bagi kerusi Parlimen Tawau. 


Calon wanita terdiri daripada pelbagai latar belakang dan kelayakan akademik dengan ada antara mereka bekerjaya sebagai peguam, doktor dan memegang jawatan utama dalam parti yang diwakili.


Antaranya termasuklah kemunculan Dr Noraishah Mydin Abdul Aziz, tokoh profesional Orang Kurang Upaya (OKU) yang mewarnai pentas PRU15, sekali gus membuktikan politik Malaysia semakin matang dan terbuka.


Beliau yang menghidap penyakit spina bifida sejak lahir akan bertanding di kerusi Parlimen Putrajaya di bawah tiket PH-PKR menentang lima lagi calon termasuk penyandangnya Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor daripada BN.


Selain itu, bekas Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Majlis Penasihat PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bertanding di Parlimen Bandar Tun Razak dan akan berdepan dua pencabar dari BN dan PN.


Penyandang kerusi Parlimen Pengerang Datuk Seri Azalina Othman Said dan penyandang Parlimen Ampang Datuk Zuraida Kamarudin, kedua-duanya bertanding atas tiket BN dan Parti Bangsa Malaysia (PBM) bagi mempertahankan kawasan masing-masing.


Bagi pertandingan kerusi DUN, calon wanita paling muda ialah Hooi Mi Suet, 29, dari Warisan yang bertanding di kerusi Simpang Pulai manakala calon paling tua berusia 66 tahun iaitu Ng Wah Leng daripada BN-MCA bagi kerusi Keranji, kedua-duanya di Perak.


DUN Bugaya menyaksikan penyertaan calon wanita tunggal iaitu Nazmahwati Walli, 43, daripada PBM.

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.