1,085 PPK bakal dilantik jawatan tetap pada Januari 2023
Khairy ketika sambutan Hari Pembantu Perawatan Kesihatan peringkat Hospital Sungai Buloh di sini hari ini. |
SUNGAI BULOH—Seramai 1,085 pembantu perawatan kesihatan (PPK) bakal menerima pelantikan jawatan tetap menjelang Januari 2023 bagi mengisi sebahagian daripada 2,456 kekosongan jawatan itu di seluruh negara ketika ini.
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata pelantikan jawatan itu turut merangkumi PPK Malaysia Short-Term Employment Programme (MySTEP) bertaraf kontrak yang akan diberi peluang untuk diserap sebagai PPK tetap, lapor Bernama.
“Kita akan sahkan dan hantar untuk ‘posting’ pada Januari depan dan baki kekosongan jawatan PPK seterusnya akan diuruskan pada suku kedua 2023,” katanya ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Pembantu Perawatan Kesihatan peringkat Hospital Sungai Buloh di sini hari ini.
MySTEP adalah inisiatif kerajaan bernilai RM700 juta yang membuka 50,000 peluang pekerjaan jangka pendek (kontrak) di pelbagai kementerian, agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Khairy berkata untuk kemasukan masa terdekat, 100 calon PPK akan menerima tawaran pelantikan jawatan pada 5 Dis ini.
Beliau berkata pelantikan jawatan berkenaan sedikit sebanyak dapat meringankan beban doktor dan jururawat yang berdepan dengan pelbagai tugasan.
Jawatan PPK mula diwujudkan sekitar tahun 60-an dan dahulunya dikenali sebagai ‘amah’ atau ‘atendan’, yang tugas mereka antaranya menolong menjalankan kerja asas berkenaan penjagaan pesakit, penyediaan peralatan dan merekod data pesakit.
Selain perihal perjawatan, Khairy berkata Kementerian Kesihatan (KKM) dari semasa ke semasa juga akan melaksanakan urusan pemangkuan dan kenaikan pangkat.
“Urusan pemangkuan PPK ke gred U16 telah dilaksanakan pada Oktober lepas, iaitu seramai 21 PPK gred 14 diberi pemangkuan dan 114 PPK akan ditawarkan ke pemangkuan gred U14 pada Januari 2023,” katanya menambah isu gaji PPK juga akan dipertimbangkan pada masa akan datang.