Wanita hilang 3 hari ditemukan dalam perut ular sawa
Wanita hilang 3 hari ditemukan dalam perut ular sawa |
JAKARTA— Seorang wanita berusia 54 tahun yang dilaporkan hilang di sebuah perkampungan terpencil di wilayah Jambi, Sumatera Indonesia, ditemukan mati dalam perut seekor ular sawa yang dipercayai telah menelannya.
Mangsa dikenali sebagai Jahrah, seorang penoreh getah dari kampung Terjun Gajah, Kabupaten Tanjung Jabung Barat, telah pergi ke ladang getah milik keluarga seorang diri.
Jahrah lazimnya akan pulang sebelum matahari terbenam, tetapi pada Ahad lalu beliau tidak pulang ke rumah walaupun hari telah gelap, kata Ketua Polis Daerah Betara Jambi S. Harefa kepada media tempatan.
Suaminya yang bimbang mengenai keselamatannya hanya menemui alas kaki, pisau penoreh getah, tudung dan jaket pada malam kejadian.
Pada pagi Isnin, suami dan saudara maranya menemui seekor ular sawa sepanjang tujuh meter.
Mereka tidak mempunyai pilihan selain membunuh ular itu dan membelah perutnya, kata Harefa.
Mayat wanita yang hilang itu ditemukan di dalam perut ular sawa berkenaan, manakala sebahagian besar anggota masih sempurna setelah ditelan keseluruhannya.
Pada 2017, seorang petani berusia 25 tahun ditemukan mati di dalam perut ular sawa di Salubiro, wilayah Sulawesi Barat.
-- BERNAMA