Ujian DNA bebaskan lelaki dipenjara 38 tahun

Maurice Hastings dibebaskan dari penjara selepas DNA membuktikan dia tidak merogol dan membunuh seorang wanita pada 1983. Gambar kredit Pejabat Peguam Daerah Los Angeles 

HOUSTON—Seorang lelaki yang menghabiskan hampir empat dekad dalam penjara kerana pembunuhan yang tidak dilakukannya, dibebaskan di negeri California pada Jumaat selepas ujian DNA menunjukkan dia bukan pembunuh sebenar.


Sabitan pembunuhan ke atas Maurice Hastings, 69, dibatalkan oleh Pejabat Peguam Daerah Los Angeles selepas dia didapati bersalah menculik dan membunuh Roberta Wydermyer, 30, pada 1983, di bandar Inglewood, lapor Agensi Anadolu.


“Saya tidak menuding jari. Saya tidak bersedih,'' kata Hastings pada sidang akhbar. 


“Saya hanya mahu menikmati hidup selagi ada. Dan saya hanya mahu melupakan kisah ini.''


Bukti baharu ujian DNA membebaskan Hastings daripada jenayah itu selain mengenal pasti orang lain sebagai pembunuh, lapor Bernama.


Pejabat peguam daerah berkata pembunuh sebenar meninggal dunia pada 2020 ketika menjalani hukuman bagi penculikan dan rogol dalam kes berasingan.


"Apa yang berlaku kepada Encik Hastings adalah satu ketidakadilan yang teruk," kata Peguam Daerah Los Angeles County George Gascon dalam satu kenyataan.


“Sistem keadilan tidak sempurna, dan apabila kita mengetahui bukti baharu yang menyebabkan kita hilang keyakinan terhadap sabitan, sudah menjadi kewajipan untuk kita bertindak pantas.”


Pejabat peguam daerah bekerjasama  dengan Los Angeles Innocence Project untuk memfailkan usul untuk memansuhkan sabitan ke atas Hastings.


Gascon memohon maaf kepada Hastings kerana bukti DNA tidak tersedia pada masa itu untuk menghalang sabitan dan hukuman penjara.


“Sistem ini mengecewakan anda,'' katanya. “Sistem ini telah mengecewakan mangsa.''


Gascon memuji Hastings kerana mendesak pihaknya "menyiasat kes itu.''


“Anda bebas hari ini kerana ketabahan anda,'' kata Gascón.


Hastings berterima kasih kepada semua yang mempercayainya dan mendoakan beliau semasa dipenjarakan, termasuk ibunya, yang meninggal dunia pada Jun sebelum beliau dapat melihat pembebasannya.


"Bertahun-tahun saya berdoa menunggu hari ini," katanya.

Next Post Previous Post