Uggah mahu SDNU adakan sesi pencambahan minda selesai isu Dayak

Datuk Amar Douglas Uggah Embas

SIBU--  Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU) selaku pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Dayak terbesar dicadangkan untuk menganjurkan sesi percambahan minda secara berkala bagi mencari jalan penyelesaian terbaik isu melibatkan masyarakat.


Ketika membuat gesaan itu, Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata hasil daripada sesi tersebut, kemudiannya boleh disampaikan SDNU kepada kerajaan untuk tindakan selanjutnya.


Beliau berkata kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sentiasa bersedia untuk mendengar maklum balas yang membina mengenai dasar, program dan pelaksanaan strategi yang dapat memberikan manfaat kepada rakyat dan negeri, lapor Bernama.


“Kami memerlukan maklum balas yang membina mengenai dasar GPS, program dan strategi pelaksanaannya. Besaup meh kitai ngintu Sarawak (Mari kita sama-sama jaga Sarawak),” katanya pada majlis makan malam Perhimpunan Agung Tritahunan SDNU ke-36 di sini, malam tadi.


Beliau menegaskan bahawa NGO berasaskan Dayak seperti SDNU yang perlu bekerjasama dengan rapat dengan kerajaan.


Beliau berkata tanpa sokongan dan persefahaman berterusan daripada rakyat termasuk Dayak, kerajaan GPS di bawah pimpinan Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg tidak akan dapat mencapai objektifnya untuk menjadi wilayah maju dan masyarakat berpendapatan tinggi menjelang 2030.


“Kita semua mahu memperoleh pendapatan lebih baik dan taraf hidup lebih tinggi menjelang 2030 melalui kepimpinan beliau, tetapi beliau pastinya memerlukan Sarawak yang bersatu padu, stabil dan harmoni serta sokongan penuh rakyat untuk mencapai matlamat itu,” kata Uggah yang turut meminta masyarakat Dayak untuk terus memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada kerajaan.


Uggah berkata objektif Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030) ialah untuk Sarawak menjadi wilayah maju dan masyarakat berpendapatan tinggi menjelang 2030, yang dipacu data dan inovasi, di mana salah satu tonggak strategi itu ialah secara keseluruhan.


“Ada sesuatu untuk semua orang di dalamnya. Justeru, semua NGO Dayak ini, mereka akan memberikan khidmat yang baik kepada masyarakat dengan mempunyai pengetahuan yang baik tentang skop dan peluang di bawah PCDS 2030,” tegasnya.


Uggah turut mengucapkan tahniah kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan Tan Sri William Mawan Ikom kerana mengekalkan jawatan presiden SDNU tanpa bertanding buat kali keempat, bersama ADUN Tamin Ir. Christopher Gira Sambang yang turut menang tanpa bertanding sebagai timbalannya.

Next Post Previous Post