Tuntutan Sulu: Kerajaan Persekutuan tak akan serahkan Sabah - Wan Junaidi

Tuntutan Sulu, Kerajaan Persekutuan tak akan serahkan Sabah
Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar

KUALA LUMPUR-- Sabah tidak akan diserahkan atau berada di bawah pentadbiran Filipina dan kerajaan Persekutuan akan terus mempertahankan kedaulatan wilayah Malaysia, kata Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen Dan Undang-undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.


Beliau berkata demikian bagi menjelaskan jawapan beliau kepada soalan yang dikemukakan Chan Foong (PH-Kota Kinabalu) di persidangan Dewan Rakyat pada 6 Okt lepas berhubung isu pertikaian timbang tara tuntutan Sulu, antara pihak yang mendakwa kumpulan Sulu serta kerajaan Malaysia, yang beliau jelaskan ia adalah tuntutan persendirian dan tidak ada kena mengena dengan soal kedaulatan.


“Sebagai penjelasan kepada jawapan saya mengenai persoalan sama ada Sabah berkemungkinan menjadi sebahagian daripada Filipina susulan keputusan pengisytiharan di Mahkamah Paris, ingin saya tegaskan bahawa situasi ini tidak akan berlaku.


“Sabah tidak akan diserahkan atau berada di bawah pentadbiran Filipina dan Kerajaan Persekutuan akan terus mempertahankan kedaulatan wilayah Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.


 Final Award Mahkamah Arbitrasi Paris tersebut dibuat oleh penimbang tara Gonzalo Stampa pada 28 Feb 2022 yang menganugerahkan pihak menuntut Sulu itu sejumlah US$14.92 bilion.


“Apabila saya menyatakan bahawa pengisytiharan keputusan Mahkamah Paris tersebut merupakan ‘tuntutan peribadi’, ia merujuk kepada tuntutan yang yang dibuat oleh individu persendirian (pihak yang mendakwa kumpulan Sulu) dan bukan tuntutan oleh Kerajaan Filipina.


“Selanjutnya, apabila saya menyatakan bahawa tuntutan Sulu dan pengisytiharan keputusan Mahkamah Paris tidak ada kena mengena dengan soal kedaulatan, kenyataan tersebut adalah merujuk kepada konteks kedaulatan wilayah – sama ada wujud kemungkinan Sabah diserahkan kepada Filipina,” kata beliau.


Wan Junaidi berkata tuntutan itu adalah provokasi dan pelanggaran ke atas kedaulatan serta kepentingan ekonomi Malaysia di peringkat antarabangsa.


Pada masa ini, pihak berkenaan sedang menggunakan proses timbang tara yang merupakan mekanisme undang-undang antarabangsa persendirian untuk menyerang kepentingan kedaulatan Malaysia di luar negara, katanya.


Menurut menteri itu, proses tersebut bukan sahaja disalahguna tetapi ia juga suatu bentuk provokasi ke atas kedaulatan dan kepentingan Malaysia.


-- BERNAMA

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.