Tawaran gaji RM8,000 sebulan, lelaki dikurung hampir setahun di Manila

Gambar hiasan kredit unsplash

IPOH— Seorang lelaki tempatan dikurung hampir setahun dipercayai menjadi hamba pemerdagangan manusia di Manila, Filipina sejak November tahun lepas.


Ibunya Vong Foong Thai, 61, seorang tukang jahit berkata anaknya Choong Chin Yee, 24, pada mulanya mengambil keputusan untuk bekerja dalam bidang perkomputeran di sana kerana ketiadaan kerja selepas pandemik COVID-19, menurut BERNAMA.


“Anak saya mahu bekerja di sana selepas ditawarkan satu pekerjaan yang bergaji lumayan iaitu RM8,000 oleh rakannya di Filipina.


“Setibanya di sana, pasportnya telah dirampas dan telefon bimbitnya diperiksa secara berkala bagi memastikan anaknya tidak membocorkan (keadaan sebenar) kepada ahli keluarga,” katanya pada sidang media di sini hari ini.


Vong berkata anak sulungnya itu mula menyedari bahawa dia ditugaskan melakukan penipuan tawaran kerja kepada rakyat Malaysia yang kononnya menawarkan gaji lebih RM9,000.


“Anak saya tidak mahu melakukan tugas itu jadi memohon untuk dilepaskan. Pada 27 Julai lepas, saya telah diugut oleh seorang lelaki melalui pesanan suara daripada aplikasi WeChat menyatakan saya perlu membayar sejumlah wang tebusan sebanyak RM100,000 bagi melepaskan anak saya pulang,” katanya.


Sementara itu, Ketua Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam MCA Perak Low Guo Nan berkata pihaknya akan menghubungi pihak kedutaan di Filipina bagi menguruskan kepulangan Choong selepas dia diarahkan bertemu pihak berkenaan oleh pihak polis.

Next Post Previous Post