PRU15: GPS Puncak Borneo sokong Willie jadi calon

Dr Jerip Susil berkata setiap DUN di Puncak Borneo akan menyokong sesiapa sahaja yang dipilih sebagai dalam PRU15


KUCHING— Jentera pilihan raya Gabungan Parti Sarawak (GPS) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Mambong, Tarat dan Serembu yang membentuk Parlimen Puncak Borneo akan menyokong sesiapa sahaja yang dipilih sebagai calon dari gabungan itu untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).


ADUN Mambong Datuk Dr Jerip Susil berkata Pengerusi GPS Tan Sri Abang Johari Tun Openg akan mengetuai dalam memuktamadkan nama calon dan jentera dari ketiga-tiga kawasan DUN berkenaan akan bekerja keras dalam memastikan kemenangan GPS di kawasan Parlimen yang didominasi kaum Bidayuh itu.


“Kita serahkan kepada Premier Sarawak (Abang Johari) untuk memutuskan (siapa calon) dan setakat yang kita tahu, setiap kawasan sedang berusaha untuk memastikan kemenangan untuk GPS,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas pelancaran Airasia Ride di sini, hari ini menurut laporan BERNAMA.


Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada beliau akan memberi sokongan penuh kepada penyandang kerusi Puncak Borneo, Datuk Willie Mongin sekiranya dinamakan sebagai calon GPS untuk bertanding di kawasan itu, yang dimenanginya di atas tiket PKR pada PRU 2018.


Willie, yang merupakan Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi II, memenangi kerusi Puncak Borneo pada PRU14 dengan majoriti 4,005 undi sebelum menyertai Bersatu selepas Gerakan Sheraton pada 2020 yang menyaksikan kerajaan Pakatan Harapan digulingkan dan kemudiannya diterima menyertai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), iaitu tonggak utama GPS, pada  Ogos lepas.


Pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 yang diadakan Disember lepas, GPS yang turut dianggotai Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP), memenangi ketiga-tiga DUN berkenaan.


Pada pilihan raya itu, Willie telah menunjukkan sokongannya dengan berkempen untuk semua calon GPS yang bertanding di tiga DUN berkenaan.

Next Post Previous Post