SKMM, syarikat telekomunikasi kerjasama sedia liputan baik pada PRU15

SKMM akan bekerjasama rapat dengan penyedia perkhidmatan telekomunikasi, Syarikat telekomunikasi kerjasama sedia liputan baik pada PRU15
SKMM akan merujuk kepada pelan tindakannya daripada pilihan raya negeri sebelum ini di Johor, Melaka dan Sarawak dalam usaha untuk menyediakan liputan yang baik pada PRU15. Gambar arkib

KUALA LUMPUR— Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan bekerjasama rapat dengan penyedia perkhidmatan telekomunikasi bagi memastikan liputan dan kualiti perkhidmatan yang baik di seluruh negara untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang akan datang.


Ketua Pegawai Operasi SKMM Datuk Mohd Ali Hanafiah Mohd Yunus berkata suruhanjaya akan merujuk kepada pelan tindakannya daripada pilihan raya negeri sebelum ini di Johor, Melaka dan Sarawak dalam usaha untuk menyediakan liputan yang baik pada PRU15.


“Sebaik sahaja kami mendapat butiran daripada Suruhanjaya Pilihan Raya berhubung lokasi pusat mengundi dan tempat pengiraan undi, kami akan membuat semakan liputan; dan jika ia lemah, kami akan bekerjasama dengan industri untuk menambah baik liputan.


“Semua pasukan kami di peringkat negeri akan bekerjasama untuk membuat semakan liputan dan itu menjadi keutamaan dari segi menyediakan liputan yang mencukupi dan baik untuk pusat mengundi dan pengiraan undi,” katanya pada taklimat media mengenai prestasi Fasa 1 Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) pada suku ketiga 2022 hari ini.


Mohd Ali Hanafiah berkata sehingga 30 Sept, 2022, purata kelajuan jalur lebar mudah alih berada pada 52.48 Megabit sesaat (Mbps) manakala median pada 30.65 Mbps.


Sebanyak 7.44 juta premis telah diluluskan dengan sambungan fiber berbanding sasaran Fasa 1 sebanyak 7.5 juta premis manakala jumlah liputan 4G sebanyak 95.82 peratus sehingga suku kedua 2022.


“Menjelang suku akhir dan berdasarkan pencapaian setakat ini, kami yakin kami dapat mencapai sasaran Fasa 1 JENDELA pada akhir tahun ini.


“Kebanyakan sasaran yang digariskan dalam Fasa 1 telah dicapai. Sasaran yang masih belum dicapai ialah pembinaan 1,661 tapak baharu di seluruh Malaysia untuk memperluas liputan 4G mudah alih di kawasan luar bandar dan pedalaman serta sambungan gentian optik kepada premis tambahan, iaitu kira-kira 62,000 premis yang masih belum selesai,” katanya.


Mengenai prestasi pelaksanaan 5G, Mohd Ali Hanafiah berkata jumlah liputan 5G di kawasan berpenduduk di seluruh negara telah mencapai 33.2 peratus setakat ini berbanding sasaran sebanyak 37.9 peratus menjelang akhir tahun.


Beliau berkata pada suku ketiga 2022, suruhanjaya telah membina 944 tapak 5G yang baharu atau 73.2 peratus daripada sasaran 1,290 tapak di seluruh negara pada suku tahun tersebut. Secara keseluruhannya, sebanyak 1,915 tapak daripada 3,518 tapak yang dirancang pada 2022 telah siap.


“Liputan 5G kini telah diperluaskan ke Perlis, Pahang dan Kelantan dengan menyiapkan empat tapak yang telah dibawa ke hadapan daripada pelan asal dalam sasaran 2023," katanya.


Dalam pada itu, beliau berkata SKMM telah menerima sebanyak 54,423 aduan mengenai rangkaian sejak 1 Jan 2022, dengan aduan bulanan pada 2022 secara perbandingan lebih rendah -- antara 24 peratus dan 88 peratus -- berbanding bulan sama pada 2021.


“Kami telah dapat menangani kebanyakan aduan dan jumlah aduan mengenai rangkaian pada suku ketiga 2022 telah menyaksikan pengurangan sebanyak 68 peratus berbanding suku ketiga 2021,” kata Mohd Ali Hanafiah.


-- BERNAMA

LihatTutupKomentar