Parti politik mula atur strategi menjelang pengumuman tarikh PRU15

Pengumuman SPR mengenai tarikh-tarikh penting Pilihan Raya Umum ke-15, Parti politik mula atur strategi menjelang pengumuman tarikh PRU15


KUALA LUMPUR— Menjelang pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Khamis ini mengenai tarikh-tarikh penting Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), parti-parti politik dan gabungan telah mula mengatur strategi serta mengintai kerusi sasaran di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).



Di SIBU, Sarawak pula, Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Dr Annuar Rapaee, berkata Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyasarkan untuk merampas kerusi Parlimen Sibu yang menjadi kubu kuat DAP selama lebih sedekad lalu.


Beliau berkata sasaran itu dibuat berdasarkan prestasi GPS di tiga kerusi DUN yang terletak di bawah Parlimen Sibu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12, Disember lepas.


Dalam PRN lepas, GPS yang merupakan gabungan PBB, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP), memenangi kerusi DUN Nangka dan DUN Pelawan, sementara kalah tipis di DUN Bawang Assan.


“Jangan sekali-kali kita lepaskan peluang ini, kita mesti menang kerusi Parlimen Sibu. Kita akan bekerja keras membantu sesiapa sahaja calon (GPS) yang telah diputuskan (untuk bertanding),” katanya.


Secara tradisinya, Parlimen Sibu diperuntukkan kepada SUPP yang kali terakhir memenangi kerusi itu pada 2008 menerusi calonnya, mendiang Datuk Robert Lau Hoi Chew, sebelum DAP memenangi kerusi itu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 2010 susulan kematian Lau.  Sejak itu, Parlimen Sibu dimenangi DAP dalam dua pilihan raya umum berikutnya pada 2013 dan 2018.


Di JERLUN, Kedah,  Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Othman Aziz, berkata UMNO Kedah meletakkan sasaran untuk memenangi lapan kerusi Parlimen di Kedah pada PRU15.


Sasaran itu, kata Othman termasuklah mempertahankan dua kerusi yang dimenangi pada PRU14 iaitu Padang Terap dan Baling, manakala enam lagi sasaran adalah kerusi Parlimen di luar dan pinggir bandar yang kini disandang wakil rakyat parti lain.


Beliau berkata calon Barisan Nasional (BN) yang akan ditampilkan terdiri daripada individu yang berkemampuan dalam menguruskan 'hati manusia', memahami keluh kesah rakyat dan sentiasa bersama dengan rakyat.


“Yang penting ialah semangat yang ditunjukkan oleh jentera dan petugas kita, saya rasa insya-Allah peluang yang cerahlah untuk mendapat sekurang-kurangnya lapan kerusi," katanya.


Kedah mempunyai 15 kerusi Parlimen. Komposisi terkini selepas PRU14, tujuh kerusi Parlimen disandang Pakatan Harapan (PN), tiga PAS, tiga Pejuang  dan dua UMNO.


Di MELAKA, Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan MCA Melaka, Datuk Lim Ban Hong, berkata MCA akan bertanding di Parlimen Alor Gajah dan Kota Melaka yang merupakan kerusi tradisi parti itu pada PRU5.


“Parti telah membuat persiapan rapi dengan menyusun dan menggerakkan pelbagai strategi dan jentera di dua kerusi Parlimen berkenaan sejak PRN Melaka yang lepas,” kata Lim yang juga Naib Presiden MCA itu.


Di SEREMBAN, Pengerusi Amanah Negeri Sembilan, Datuk MK Ibrahim Abd Rahman mencadangkan tiga calon untuk bertanding di tiga kerusi Parlimen di Negeri Sembilan.


Mereka adalah Speaker Dewan Undangan Negeri Sembilan (DUN),Datuk Zulkefly Omar bagi Parlimen Jelebu, Ketua Wanita Amanah Negeri Sembilan, Norwani Ahmat di Jempol dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Pulau Pinang, Muhammad Faiz Fadzil bagi kerusi Tampin.


"Mesyuarat Amanah Nasional semalam sudah menamakan ketiga-tiga nama tersebut. Ia akan diumumkan secara rasmi kelak menjelang hari penamaan calon PRU15," katanya ketika dihubungi Bernama, serta menambah dengan pencalonan Muhammad Faiz itu, penyandang kerusi Tampin, Datuk Dr Hasan Baharom tidak akan mempertahankan kerusi berkenaan.


Di KANGAR, Pengerusi Warisan Perlis, Abdul A'zib Saad berkata Warisan bercadang untuk bertanding di semua tiga kerusi Parlimen iaitu Padang Besar, Kangar dan Arau dan beberapa kerusi DUN.


“Kita (Warisan) akan bertanding di beberapa kerusi DUN namun ia masih belum diputuskan. Kita masih mengkaji kerusi mana yang bersesuaian memandangkan ada permintaan daripada masyarakt yang ingin perubahan beralih kepada parti alternatif  seperi Warisan,” katanya ketika dihubungi Bernama.


Beliau berkata nama calon yang akan mewakili Warisan di Perlis hanya akan diumumkan selepas mesyuarat khas SPR, serta menyatakan Warisan akan mengetengahkan calon muka baharu, lama dan juga orang muda.


Warisan dilancarkan di Perlis pada Jun lepas oleh Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan buat pertama kali akan bertanding di Perlis pada PRU15.


-- BERNAMA
LihatTutupKomentar