Skim piramid: Tujuh ditahan, kenderaan mewah, wang hampir RM1 juta disita

KPDHNEP menyita kenderaan mewah dalam operasi bersepadu ‘Op Reward’ di sebuah pusat perdagangan di Jelutong, Pulau Pinang, Rabu lepas. Gambar kredit Sinar Harian 


KUALA LUMPUR—Seramai tujuh individu termasuk seorang warga Taiwan yang disyaki terlibat dalam aktiviti skim piramid, ditahan menerusi serbuan operasi bersepadu ‘Op Reward’ di sebuah pusat perdagangan di Jelutong, Pulau Pinang, Rabu lepas.


Ketua Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Azman Adam, berkata dalam operasi itu pasukan serbuan turut menyerbu empat premis kediaman yang didiami suspek di sekitar Pulau Pinang dan Kedah.


Beliau berkata siasatan awal mendapati, syarikat terbabit menjalankan dan mempromosi skim itu kepada orang awam menerusi aplikasi dalam talian dan penjualan pakej tertentu, sejak beberapa tahun lalu.


“Hasil pemeriksaan, pasukan serbuan menyita pelbagai dokumen, komputer riba dan telefon bimbit yang berkaitan, bagi membantu siasatan bersama ini.


“Selain itu, sembilan kenderaan mewah serta pelbagai beg tangan berjenama milik suspek turut disita, selain sebanyak 38 akaun di tujuh bank dibekukan serta wang tunai keseluruhan berjumlah RM967,720.29 disita,” katanya menerusi kenyataan hari ini.


Operasi itu dijalankan Pasukan Tindakan Khas Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP dan disertai Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), Bank Negara Malaysia (BNM), Polis Diraja Malaysia serta Cyber Security Malaysia.


Azman berkata syarikat terbabit disyaki aktif melakukan aktiviti tersebut di beberapa negeri seperti Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Sarawak, selain dikesan menjalankan pelbagai aktiviti perniagaan lain.


Kes disiasat di bawah subseksyen 4 (1) Akta Jualan Langsung dan Skim Anti Piramid (AJLSAP 1993) iaitu menjalankan perniagaan jualan langsung tanpa lesen dan Seksyen 27B Akta Jualan Langsung dan Skim Anti Piramid (AJLSAP 1993) iaitu mempromosikan atau menjalankan skim piramid.


Semua suspek turut disiasat di bawah Seksyen 4 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001, kerana disyaki melakukan aktiviti pengubahan wang haram.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post