Sarjan mejar hadapi 24 tuduhan terima rasuah RM4,800

Seorang anggota polis berpangkat Sarjan Mejar mengaku tidak bersalah, Sarjan mejar hadapi 24 tuduhan terima rasuah RM4,800

KUANTAN—Seorang anggota polis berpangkat Sarjan Mejar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 24 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM4,800 antara 2016 hingga 2019.


Rasip Majid, 53, yang kini bertugas di Balai Polis Merlimau, Melaka dituduh menerima wang RM200 dengan tanpa balasan secara transaksi daripada seorang individu ke dalam akaun bank miliknya sebanyak 24 kali.


Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Jerantut antara 7 Dis 2016 hingga 15 Okt 2019.


Bagi kesalahan tersebut, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama iaitu boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.


Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Siti Sarah Zainal Abiddin menawarkan jaminan RM5,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin.


Bagaimanapun, Rasip yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon jumlah itu dikurangkan kerana dia berpendapatan kira-kira RM6,000 sebulan dan perlu menyara kedua ibu bapanya selain anak serta isteri yang tidak bekerja.


Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain kemudian mengekalkan jumlah jaminan RM5,000 dengan syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di ibu pejabat SPRM Melaka setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.


Sebutan semula kes untuk lantikan peguam dan serahan dokumen pada 21 Nov ini.


-- BERNAMA

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.