Kastam rampas dadah RM7 juta disorok dalam perabot, jubah mandi

Abdul Halim (tengah) menunjukkan rampasan dadah yang disorok di dalam perabot dan jubah mandi di Lapangan Terbang Antarbangsa Kuala lumpur (KLIA) ketika sedang media hari ini.

NILAI— Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menumpaskan cubaan menyeludup dadah disyaki ketamin dan methamphetamine berjumlah 128.5 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM7 juta yang disorok di dalam perabot dan jubah mandi dalam dua kes berasingan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) awal bulan ini.


Timbalan Ketua Pengarah Kastam Perkastaman dan Cukai Dalam Negeri yang menjalankan tugas Ketua Pengarah Datuk Abdul Halim Ramli berkata rampasan dilakukan sepasukan anggota ketika memeriksa  dagangan yang dijadualkan untuk dieskport ke sebuah negara Asia Timur melalui pesawat kargo KLIA kira-kira 3.30 petang, 13 Okt lepas.


"Dagangan berkenaan diikrarkan sebagai table end table dengan berat 366 kg, pemeriksaan mendapati dua palet mengandungi tiga perabot dibalut rapi bersama tiga kotak. Setelah balutan perabot dibuka didapati ia adalah tiga perabot berbentuk meja yang rangkanya diperbuat daripada besi dan kayu.


"Anggota serbuan kemudian membuka balutan satu daripada perabot serta mengumpil bahagian atas meja dan mendapati wujud bahan kristal jernih disyaki ketamin dengan anggaran berat 124.6 kg bernilai RM6.8 juta di dalam perabot itu," katanya pada sidang media di Cawangan Narkotik Ibu Pejabat JKDM di sini hari ini.


Beliau berkata siasatan awal turut mendapati barang dagangan berkenaan dari kawasan perindustrian Selangor ke Johor Bahru dan dibawa ke gudang ejen penghantaran kargo udara di KLIA dengan kegiatan itu dipercayai dikendalikan sindiket antarabangsa selain penglibatan warga tempatan.


Abdul Halim berkata susulan itu dua lelaki warga tempatan berumur lingkungan 30 dan 40 tahun ditahan bagi membantu siasatan.


Sementara itu, JKDM turut menyita bungkusan antarabangsa mengandungi dua helai jubah mandi untuk dihantar ke negara di rantau Oceania disyaki mengandungi dadah jenis methamphetamine di premis Pos Malaysia International Hub (PMIH) Kargo dengan anggaran berat 3.75 kg bernilai RM135,000 pada 12 Okt.


"Maklumat pengirim disyaki dipalsukan bagi mengelirukan dan mengelakkan mereka daripada dikesan selain modus operandi digunakan adalah melarutkan dadah dengan merendamkannya bersama jubah mandi dan akan dikeringkan bagi mengaburi pihak berkuasa," katanya.


Abdul Halim berkata kedua-dua kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post