Sabah kutip RM2.45 bilion royalti, cukai jualan minyak, gas

Datuk Hajiji Noor. Gambar arkib

KOTA KINABALU—Kerajaan Sabah dijangka mengutip royalti dan bayaran cukai jualan negeri (SST) daripada sektor minyak dan gas berjumlah RM2.45 bilion setahun dengan kemasukan ammonia dan urea ke dalam Enakmen SST mulai Ogos tahun ini.


Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata melalui kemasukan ammonia dan urea itu juga Petronas Chemical menyalurkan sumbangan tambahan RM10 juta untuk Ogos tahun ini kepada kutipan SST negeri Sabah untuk operasi kilang ammonia dan urea di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP).


“Jumlah itu (RM2.45 bilion) juga bergantung kepada pergerakan harga minyak, bagaimanapun negeri Sabah boleh menjangkakan untuk mengutip jumlah royalti dan bayaran SST itu setahun.


“Kami berharap untuk membangun dan mengembangkan perniagaan minyak dan gas dengan semua syarikat minyak dan gas dalam suasana perkongsian harmoni," katanya.


Beliau berkata demikian pada Majlis Menandatangani Perjanjian Bekalan Gas Asli dan Pertukaran Dokuen Perjanjian Jual Beli Aset dan Perniagaan Gas antara Petronas dan Sabah Energy Corporation Sdn Bhd (SEC) di sini hari ini.


Teks ucapan Hajiji dibacakan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah yang juga Menteri Kewangan Kedua negeri, Datuk Masidi Manjun.


Pengurus Besar Kanan Pengurusan Hidrokarbon Bersepadu Pengurusan Petroleum Malaysia, Aidid Chee Tahir dan Ketua Pegawai Eksekutif SEC Adzmir Abdul Rahman menandatangani perjanjian tersebut serta menyempurnakan pertukaran dokumen yang disaksikan Masidi.


Sementara itu, Hajiji berkata melalui kerjasama itu SEC yang merupakan syarikat berkaitan kerajaan Sabah (GLC) menjadi pembekal dan pengangkut gas asli domestik terbesar di Sabah sekali gus menjadi antara penggiat utama industri minyak dan gas di Malaysia.


Menerusi pemerolehan kontrak gas Petronas di Sabah, SEC menjadi pembekal dan pengangkut gas asli domestik terbesar di negeri itu, ia akan terlibat memindahkan lebih daripada 250MMscfd (Million Standard Cubic Feet Per Day) gas asli ke Penjana Tenaga Bebas (IPP) sedia ada.


"Dengan pangkalan pelanggan yang lebih besar dan kawalan infrastruktur, SEC bersedia untuk mengembangkan lagi perniagaan gasnya di Sabah selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk melihat peningkatan penyertaan GLC negeri dalam industri minyak dan gas,” katanya.


Beliau berkata melalui usaha kolaboratif itu SEC akan memiliki dan mengoperasikan infrastruktur gas asli hiliran utama di Sabah.


“Pengambilalihan perniagaan gas asli yang dimiliki oleh Petronas, SEC membekalkan 86 peratus bahan bakar bagi tujuan janakuasa di negeri ini.


“Justeru, kerajaan negeri melalui SEC akan dapat maju ke hadapan dalam meneroka potensi penuh rantaian industri gas asli negeri ini, ia akan memberikan pulangan ekonomi yang baik kepada Sabah," kata Hajiji.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post