Notification

×

Iklan

Iklan

Bekas YDP Majlis Daerah Kuala Langat didakwa 11 pertuduhan rasuah

| Oktober 11, 2022 WIB | 0 Views Last Updated 2022-10-11T12:33:43Z

KUALA LUMPUR—Seorang bekas Yang Dipertua (YDP) Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas 11 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM22,100, empat tahun lepas.


Mohamad Zain A Hamid, 48, mengaku tidak bersalah, selepas semua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.


Mengikut pertuduhan pertama hingga kelapan, Mohamad Zain didakwa menerima wang tunai berjumlah RM9,000 untuk teman wanitanya, sebagai balasan bagi membantu syarikat-syarikat di bawah seliaan dan pinjaman lesen seorang individu, mendapatkan kerja-kerja inden dan sebut harga di MDKL yang mana tertuduh ketahui ada hubungan dengan kerja rasminya sebagai YDP MDKL.


Bagi pertuduhan kesembilan hingga ke-11, tertuduh didakwa menerima pembayaran kad kredit miliknya berjumlah RM13,100, daripada individu sama berkaitan perkara serupa.


Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Cawangan Taman Mutiara, Cheras dan Ibu Pejabat Maybank, Menara A, Dataran Maybank di sini antara 28 Sept 2018 dan 15 Jun 2020.


Pertuduhan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.


Azura membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan, berserta syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri sebulan sekali di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Selangor berdekatan sehingga kes selesai.


Mahkamah menetapkan 26 Okt ini untuk sebutan semula kes.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rasyidah Murni Adzmi manakala tertuduh diwakili peguam Zamri Idrus.


-- BERNAMA

×
Berita Terbaru Update