Rasuah: Bekas hakim dipenjara 6 bulan, denda RM25,000

Seorang bekas Hakim Mahkamah Sesyen hari ini dihukum penjara enam bulan akibat rasuah, Bekas hakim dipenjara 6 bulan denda RM25,000
Azmil Muntapha Abas iaitu bekas Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Bharu dijatuhi hukuman selepas pembelaan gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan. Gambar Kredit Harian Metro

SHAH ALAM—Seorang bekas Hakim Mahkamah Sesyen hari ini dihukum penjara enam bulan dan denda RM25,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas didapati bersalah atas satu pertuduhan rasuah berhubung prosiding mahkamah.


Hakim Rasyihah Ghazali menjatuhkan hukuman itu ke atas Azmil Muntapha Abas, 48, iaitu bekas Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Bharu, selepas mendapati pembelaan gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.


Mahkamah juga memerintahkan Azmil Muntapha dipenjara enam bulan lagi sekiranya tertuduh gagal membayar denda itu.


Bagaimanapun, mahkamah turut membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi dan menaikkan jumlah jaminan terhadap tertuduh daripada RM6,000 kepada RM12,000 selain memerintahkan notis rayuan difailkan selewat-lewatnya 21 Okt ini.


Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai Hakim Mahkamah Sesyen telah memperoleh untuk dirinya suatu barang berharga iaitu wang tunai sebanyak RM5,000, tanpa suatu balasan pada 8.22 malam, yang mana tertuduh mengetahui mempunyai hubungan dalam suatu prosiding yang berkaitan dengannya iaitu mengendalikan kes-kes jenayah bagi enam Orang Kena Tuduh (OKT).


Enam OKT tersebut adalah Chin Yat Soong, Yap Chiew Tat, Chin See Shak, Pang Kooi Fook, Yap Swee Ming dan Chin Chee Keong yang masing-masing telah melakukan kesalahan di bawah subseksyen 9 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 (Akta 289) dan di mana Azmil Muntapha telah menjatuhkan hukuman denda terhadap kesemua mereka.


Azmil Muntapha didakwa melakukan perbuatan tersebut di Maybank Setia Alam 2, dekat sini pada 10 Mei 2018 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.


Dalam prosiding itu, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya  Allan Suman Pillai, Maziah Mohaide dan Mohd Shahrom Idris manakala tertuduh diwakili peguam Asmadi Hussin serta Azrul Zulkifli Stork.


Seramai 24 saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan iaitu tertuduh sendiri dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan yang bermula pada September 2021 dan berakhir pada Ogos lepas.


-- BERNAMA

LihatTutupKomentar