PRU15: SUPP serah nama calon kepada pengerusi GPS

SUPP telah menyerahkan senarai nama calon parti itu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15, SUPP serah nama calon kepada pengerusi GPS
Presiden SUPP Datuk Seri Dr Sim Kui Hian

KUCHING— Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) telah menyerahkan senarai nama calon parti itu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kepada Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Tan Sri Abang Johari Tun Openg.


Presiden SUPP Datuk Seri Dr Sim Kui Hian berkata Abang Johari yang juga Premier Sarawak memaklumkan semalam bahawa GPS sudah hampir memuktamadkan senarai calon PRU15. 


“Kini terpulanglah kepada Premier (Abang Johari) untuk membuat keputusan siapa yang layak serta dipilih untuk bertanding,” kata Timbalan Premier Sarawak itu kepada media selepas merasmikan Seminar Hari Kaunseling Sedunia 2022 di sini hari ini.


GPS dianggotai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Demokratik Progresif (PDP) dan SUPP.


Berdasarkan persefahaman dalam GPS sebelum ini, SUPP dijangka mewakili gabungan itu untuk bertanding di tujuh kawasan Parlimen di Sarawak iaitu Bandar Kuching, Stampin, Serian, Sarikei, Sibu, Lanang dan Miri.


Dalam  Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), SUPP bertanding di tujuh kerusi tersebut namun hanya memenangi kerusi Parlimen Serian menerusi calonnya Datuk Richard Riot Jaem, yang juga timbalan presiden parti itu. 


Dr Sim berkata SUPP tidak mahu apa yang berlaku selepas PRU14 menyaksikan senario politik nasional menjadi tidak stabil dengan tiga perdana menteri dilantik dalam tempoh kurang dari lima tahun berulang selepas PRU15.


“PRU15 akan menjadi pilihan raya luar biasa kerana ia memberi peluang kepada rakyat untuk memilih kerajaan stabil bagi mengakhiri kekalutan politik yang berlaku,” katanya.


-- BERNAMA

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.