Rakyat Malaysia diekstradisi ke AS atas dakwaan seludup hidupan liar

Amerika Syarikat mengekstradisi seorang rakyat Malaysia, Teo Boon Ching didakwa terlibat kegiatan penyeludupan hidupan liar dan pengubahan wang haram
Teo (berbaju merah) ketika ditahan di Thailand pada 29 Jun atas permintaan AS. Gambar Chiangraitimes

KUALA LUMPUR— Amerika Syarikat (AS) mengekstradisi seorang rakyat Malaysia, Teo Boon Ching yang didakwa terlibat dalam kegiatan penyeludupan hidupan liar dan pengubahan wang haram.


Teo (bergelar Datuk Seri) 57, didakwa terlibat dengan konspirasi menyeludup lebih 70 kilogram tanduk badak sumbu bernilai lebih US$725,000, menurut kenyataan Jabatan Kehakiman AS.


“Teo didakwa atas satu pertuduhan bersubahat melakukan penyeludupan hidupan liar yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun dan dua pertuduhan pengubahan wang haram yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun.


“Teo telah ditahan di Thailand pada 29 Jun atas permintaan AS menurut perjanjian ekstradisi dua hala," menurut kenyataan itu.


Dia diekstradisi ke AS pada Jumaat (7 Okt) untuk didakwa. 


Terdahulu, pada Jumaat Teo dan entitinya telah dikenakan sekatan oleh Pejabat Kawalan Aset Asing (OFAC) Jabatan Perbendaharaan AS.


Kenyataan itu turut mendedahkan bahawa Teo ialah peneraju perusahaan jenayah transnasional yang berpangkalan di Asia serta menjalankan operasi penyeludupan tanduk badak sumbu berskala besar di Malaysia dan Thailand.


"Ching (Teo) bertindak sebagai penyeludup khusus yang mengangkut tanduk badak sumbu dari pusat operasi pemburuan badak sumbu dari Afrika kepada pelanggan terutamanya di Asia. 


“Dia juga mendakwa boleh membuat penghantaran tanduk badak sumbu ke AS," menurut kenyataan itu.


-- BERNAMA

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.