Notification

×

Iklan

Iklan

Racun merpati, dua warga Indonesia dipenjara

| Oktober 13, 2022 WIB | 0 Views Last Updated 2022-10-13T09:03:31Z

SHAH ALAM— Dua lelaki warga Indonesia masing-masing dipenjara enam bulan oleh  Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana memberikan bahan beracun kepada sekumpulan burung merpati Julai lepas.


Hakim Rasyihah Ghazali menjatuhkan hukuman itu ke atas Fathur Rosi Arsijo, 22, dan Abdul Rahman Sauji, 32, selepas mereka mengekalkan pengakuan bersalah. 


Kedua-dua pekerja pembersihan itu diperintahkan menjalani hukuman penjara tersebut mulai tarikh tangkap pada 26 Julai.


Sementara itu, mahkamah menetapkan 17 Nov ini untuk pengurusan kes melibatkan dua pembantu tadbir wanita Noor Hazirah Masuan, 32, dan Nurul Najwa Shafikah Zukri, 22, yang didakwa atas pertuduhan sama.


Mengikut pertuduhan, mereka secara bersama-sama tanpa kebenaran yang sah atau sebab yang munasabah memberikan bahan beracun kepada sekumpulan burung merpati di hadapan pekarangan sebuah kilang di Batu Tiga di sini, pada 3.53 petang, 21 Julai lepas.


Kesalahan dilakukan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31 (1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda minimum RM20,000 dan maksimum RM100,000 atau dipenjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya.


Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar Mohd Sharif Sabran manakala peguam Nur Iwani Izzaty mewakili Noor Hazirah dan Nurul Najwa Shafikah dan dua warga Indonesia tersebut tidak diwakili peguam.


Mengikut fakta kes, Noor Hazirah telah membuat membuat pesanan pembelian racun serta sekilogram jagung kasar menerusi aplikasi jualan dalam talian pada 1 Julai sebelum meminta Nurul Najwa Shafikah merendam jagung itu dalam racun berkenaan selama sehari dan diserahkan kepada Abdul Rahman pada 21 Julai untuk diberikan kepada burung merpati di hadapan sebuah kilang di Batu Tiga.


Abdul Rahman dan Fathur Rosi kemudian ke hadapan kilang itu pada 3.53 petang dan menabur jagung bercampur racun itu daripada bungkusan plastik berwarna merah berhampiran sekumpulan burung merpati.


Bertindak atas aduan awam, sepasukan Pegawai Kebajikan Haiwan Negeri Selangor hadir ke pekarangan kilang terbabit pada 11.10 malam hari sama dan mendapati sekumpulan bangkai burung merpati serta sisa makanan jagung bertaburan di sekeliling, selain turut dijumpai bungkusan plastik berwarna merah mengandungi jagung.


Sebelum ini, tular di media sosial mengenai kejadian kira-kira 100 ekor burung merpati mati dan dilonggokkan di satu kawasan selepas dipercayai memakan dedak yang diberikan oleh pihak tidak bertanggungjawab.


-- BERNAMA

×
Berita Terbaru Update