Polis rampas dadah cecair vape bernilai RM3.4 juta


KUALA LUMPUR— Kegiatan satu sindiket mengedar dan memproses dadah dalam bentuk cecair vape bernilai RM3.4 juta terbongkar susulan penahanan tujuh individu termasuk seorang wanita warga asing dalam empat serbuan sekitar Lembah Klang, Khamis lepas.


Setiausaha PDRM Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata kesemua individu berusia 25 hingga 34 tahun itu ditahan dalam serbuan dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik di Selangor dan Kuala Lumpur. 


Beliau berkata dalam serbuan itu, pihaknya merampas 104.16 liter cecair ketamin, 27.56 gram syabu dan 160 biji pil yaba selain tiga kenderaan, wang tunai RM2,530 dan barang kemas bernilai RM3,077.


“Sindiket ini dipercayai aktif sejak awal tahun ini dengan modus operandinya mencampurkan cecair ketamin ke dalam perisa vape dan menggunakan perkhidmatan kurier bagi mengedarkan dadah untuk pasaran tempatan,” katanya dalan kenyataan hari ini.


Noorsiah berkata lima individu ditahan itu positif dadah jenis methamphetamine, amphetamine dan benzo, manakala  enam daripadanya mempunyai rekod kesalahan dadah dan jenayah.


Menurutnya kesemua individu termasuk wanita warga Indonesia itu direman lima hingga tujuh hari bermula semalam bagi siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.


-- BERNAMA 

Next Post Previous Post