Pilihan raya berasingan, parti menang kerusi Parlimen berpeluang pengaruhi pengundi di DUN


KUALA LUMPUR— Parti politik yang memenangi kerusi di peringkat Parlimen dilihat mempunyai kelebihan untuk mempengaruhi pengundi di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) sekiranya Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak diadakan serentak dengan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).


Pensyarah Kanan Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain berkata berikutan itu, negeri yang belum membubarkan DUN perlu berfikir dengan rasional kerana pilihan raya yang diadakan berasingan hanya akan memberi tekanan kepada mereka.


“Sekiranya mereka bersetuju untuk membubarkan DUN, ia bukanlah satu kekalahan bagi mereka sebaliknya satu tindakan yang wajar untuk menyaksikan proses demokrasi pilihan raya itu berlangsung dengan lebih tenang dan lancar,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika menjadi panel dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV yang membincangkan tajuk “PRU15: Bubar DUN atau Tidak?” hari ini. Turut menjadi panel adalah Pensyarah Undang-Undang dan Polisi Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Prof Madya Dr Muhammad Fathi Yusof.


Bagaimanapun, Muhammad Fathi berpandangan terdapat kecenderungan untuk pengundi memberikan kuasa kerajaan negeri kepada parti berbeza yang tidak menang di peringkat Persekutuan.


“Ini satu perkara yang baharu, iaitu mungkin wujud kecenderungan pengundi untuk mewujudkan satu keseimbangan antara Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri. Tetapi ini sekadar andaian, kita tidak tahu rentak pengundi bagaimana,” katanya.


Sementara itu berhubung topik sama, veteran politik Tan Sri Mohd Yussof Latiff pula menyifatkan tindakan beberapa kerajaan negeri yang enggan membubarkan DUN serentak dengan Parlimen pada PRU15 akan mengheret rakyat dalam konflik politik berpanjangan.


Beliau berkata sepatutnya kerajaan negeri mengembalikan kuasa memilih kepada rakyat dengan mengadakan pilihan raya secara serentak supaya dapat membentuk kerajaan Pusat dan kerajaan negeri yang stabil.


"Mandat untuk kerajaan negeri yang enggan membubarkan DUN seperti Kelantan, Terengganu, Kedah dan Negeri Sembilan hanya tinggal enam bulan sahaja lagi untuk terus berkuasa.


“Ia bukan tempoh yang panjang pun lagi, tindakan serta keputusan pimpinan negeri berkenaan hanya merugikan wang rakyat,” katanya ketika dihubungi.


Semantara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UTM Dr Muhammd Fauzi Othman berkata mana-mana parti politik atau gabungan politik di Malaysia ketika ini dilihat sukar mendapat undian majoriti dalam pilihan raya dengan kelahiran pengundi canggih yang kini lebih peka akan hak dan kehendak masing-masing.


Beliau berkata situasi itu jelas menunjukkan negara kini sedang melalui fasa kedewasaan demokrasi seiring perubahan zaman.


“Dalam fasa ini masyarakat mula sedar tentang hak dan kehendak berbeza. Dahulu, kehendak kita hanya satu iaitu mencapai kemerdekaan, kemudiannya untuk membina negara.


"Bagaimanapun, generasi di pascamodenisme menyaksikan ramai golongan muda lebih berminat dengan gig ekonomi yang lebih luas dan fleksibel serta tidak mempunyai kuasa atau kepimpinan yang kekal, malah dari segi sudut politik juga berbeza kerana mereka lebih melihat kepada kebebasan dan keadilan,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika menjadi panel jemputan dalam program Malaysia Petang Ini terbitan Bernama TV yang membincangkan tajuk ‘Apabila DUN Tidak Bubar Serentak’ hari ini.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post