Notification

×

Iklan

Iklan

Pilih BN untuk pastikan Bajet 2023 direalisasi, PM

| Oktober 08, 2022 WIB | 0 Views Last Updated 2022-10-08T09:24:10Z
Gambar hiasan

JEMPOL-- Segala peruntukan bagi melaksanakan setiap inisiatif dan bantuan seperti yang diumumkan dalam belanjawan tahun hadapan sudah tersedia untuk direalisasikan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.


Beliau berkata sehubungan itu Barisan Nasional (BN) perlu memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti, bagi membolehkan segala inisiatif dan bantuan yang terkandung dalam Bajet 2023 dapat dilaksanakan.


“… kena pastikan BN menang (PRU15), kewangan sudah ada dan ready untuk dilaksanakan (segala inisiatif dalam Bajet 2023),” katanya ketika berucap pada Kenduri Sekampung Keluarga Malaysia sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Negeri Sembilan di Felda Palong, dekat sini hari ini.


Turut hadir Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin yang juga Ahli Parlimen Rembau, merangkap Penyelaras Jelajah AKM Negeri Sembilan dan Ahli Parlimen Jempol Datuk Seri Mohd Salim Mohd.


Semalam, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz membentangkan Bajet 2023 yang terbesar dalam sejarah iaitu berjumlah RM372.3 bilion, peningkatan ketara berbanding Bajet 2022 yang memperuntukan RM332 bilion, manakala Bajet 2021 bernilai RM322 bilion.


Bajet 2023 adalah kedua di bawah kerajaan pimpinan Ismail Sabri dan yang kedua sejak Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dilancarkan pada 27 Sept tahun lepas.


Ismail Sabri seterusnya mengingatkan rakyat supaya tidak mudah terpedaya dengan segala janji yang dikemukakan pembangkang dalam manifesto mereka terutama menjelang PRU15.


“Dari segi pengalaman dengan pembangkang, mereka tidak dapat melaksanakan janji mereka, seperti harga minyak turun dan tol dihapuskan. Apabila mereka tidak mampu buat (tepati janji), mereka kata manifesto bukan al-Quran (kitab) yang tak boleh diubah.


“Jadi saya cuma nak mengingatkan, supaya semua tidak lupa janji yang tak ditepati oleh PH (Pakatan Harapan),” katanya.


Menyentuh mengenai kredibiliti Khairy sebagai Menteri Kesihatan, Ismail Sabri berkata sekiranya beliau (Ismail Sabri) masih menjadi Perdana Menteri selepas ini, beliau akan mengekalkan jawatan Khairy sebagai Menteri Kesihatan.


“…(sebab) di Negeri Sembilan, hasil KJ (Khairy Jamaluddin) sebagai Menteri Kesihatan, kerajaan sudah luluskan Institut Penyakit Berjangkit Malaysia di Bandar Enstek Nilai dengan peruntukan RM600 juta.


“Jika hilang menteri ini (Khairy) akan rugi, sebab apabila dapat kepada orang lain (jadi menteri kesihatan) mungkin projek ini dibatalkan,” kata Ismail Sabri.


-- BERNAMA

×
Berita Terbaru Update