Pengarah urusan syarikat kontraktor didenda RM80,000


KUALA LUMPUR— Seorang pengarah urusan sebuah syarikat kontraktor didenda RM80,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana memalsukan dokumen tuntutan berhubung ujian penerimaan kilang (FAT) bagi projek Mayang Mall di Kuala Terengganu, dua tahun lepas.


Hakim Suzana Hussin menjatuhkan hukuman itu terhadap Pengarah Urusan syarikat Gafis (M) Sdn Bhd Datuk Asri Abu Shari, 54, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut dan memerintahkan bapa enam anak itu dipenjara tiga bulan, sekiranya gagal membayar denda.


Mahkamah turut memerintahkan wang RM1.9 juta yang berada di dalam akaun syarikat milik tertuduh (Gafis) itu dilucut hak kepada kerajaan Malaysia melalui Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).


Asri dituduh menggunakan dokumen palsu bertajuk ‘Testing and Testing Apparatus’ yang terkandung dalam tuntutan kerja-kerja mekanikal dan elektrik bagi pembinaan blok pusat membeli belah di Kuala Terengganu.


Dokumen palsu itu digunakan semasa membuat tuntutan bagi FAT ke atas beberapa peralatan termasuk pemercik serta pam pancur kering dan basah dalam projek Mayang Mall, Kuala Terengganu.


Kesalahan itu didakwa dilakukan di syarikat YHS Associates Sdn Bhd, Pandan Jaya, di sini, pada 30 Okt 2020 dan pertuduhan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.


Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin memohon mahkamah mengambil kira kepentingan awam dalam menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh selain memohon supaya wang RM1.9 juta yang berada di dalam akaun syarikat milik tertuduh dilucut hak kepada kerajaan Malaysia.


Peguam Ridha Abdah Subri, yang mewakili tertuduh memohon hukuman berbentuk denda dalam lingkungan RM50,000 mengambil kira faktor anak guamnya yang menanggung keluarga selain menghidap beberapa penyakit termasuk masalah jantung.


“Anak guam saya menyesal atas perbuatan yang dilakukan dan sejak siasatan SPRM bermula pada Mei lalu, syarikatnya mengalami masalah kewangan. Mohon mahkamah mengambil kira faktor beliau masih menggajikan kira-kira 30 pekerja tetap dan 200 pekerja kontrak,” kata peguam itu.


Mengikut fakta kes, tertuduh mengemukakan dokumen palsu disediakan pekerja syarikatnya untuk membuat tuntutan FAT ke atas peralatan dikemukakan sedangkan tiada FAT dilakukan seperti ditetapkan dalam kontrak kerja pembinaan bagi membolehkan tuntutan dibayar kepada syarikat Gafis.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post