PCDS 2030 menyeluruh buat semua warga Sarawak, kata Fadillah

Datuk Seri Fadillah Yusof ketika menghadiri sambutan Hari Warga Emas anjuran Panel Penasihat Klinik Kesihatan Jalan Masjid di sini, hari ini.


KUCHING—Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang diperkenalkan kerajaan negeri Gabungan Parti Sarawak (GPS) ialah strategi menyeluruh untuk kesejahteraan semua warga Sarawak.


Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Seri Fadillah Yusof berkata melalui strategi itu, tiada pihak yang dipinggirkan.



“PCDS 2030 sangat menyeluruh dengan tujuan utama menjaga kesejahteraan sosial rakyat termasuk kebajikan warga emas.


“(Ini akan dikukuhkan lagi) dengan manifesto GPS untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang akan diumumkan nanti,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Sambutan Hari Warga Emas di sini, hari ini.



PCDS 2030 yang dilancarkan pada Julai tahun lepas merupakan inisiatif bagi Sarawak menjadi sebuah negeri maju menjelang 2030 dan memberikan pendapatan tinggi kepada rakyatnya.


GPS dianggotai oleh PBB, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).


Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRU15 pada 19 Nov, penamaan calon pada 5 Nov dan pengundian awal pada 15 Nov.


 -- BERNAMA

Next Post Previous Post