PBK, PKR senada mahu TYT dilantik dari kalangan pemimpin Dayak

Parti Bumi Kenyalang (PBK) dan Parti Keadilan Rakyar (PKR) Sarawak menyokong cadangan, PBK PKR mahu TYT dilantik dari kalangan pemimpin Dayak

KUCHING-- Parti Bumi Kenyalang (PBK) dan Parti Keadilan Rakyar (PKR) Sarawak senada menyokong cadangan agar Sarawak perlu mengangkat dan melantik seorang Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri yang juga dikenali sebagai Gabenor Sarawak dari kalangan masyarakat Dayak bukan Islam.


Pendirian itu dilontarkan Presiden PBK Voon Lee Shan pada Selasa dan mendapat sokongan daripada PKR Sarawak menerusi kenyataan yang dikeluarkan Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR Abun Sui Anyit pada Rabu.


Kedua-dua pemimpin berkenaan menyokong agar pelantikan Yang di-Pertua Negeri diangkat dan dilantik dari kalangan pemimpin masyarakat Dayak.


"Sejak akhir–akhir ini, terdapat perbincangan rancak di media sosial tentang kemungkinan Sarawak perlu mengangkat dan melantik seorang TYT yang juga dikenali sebagai Gabenor Sarawak dari kalangan masyarakat Dayak bukan Islam.


"Di dalam Perlembagaan Sarawak, sesiapa sahaja yang berkelayakan boleh diangkat menjadi TYT dan tidak terhad kepada mana–mana bangsa dan agama. 


"Tambahan pula di Sarawak tidak ada agama rasmi seperti negeri–negeri lain di dalam Malaysia," kata Abun.


Jelasnya lagin hanya seseorang yang menjadi rakyat Sarawak secara naturalisasi sahaja tidak dapat dilantik menjadi TYT. 


"Untuk memudahkan kefahaman, isteri TYT dan anak tiri TYT sekarang ini tidak layak diangkat menjadi TYT.


"Justeru, untuk memelihara keharmonian yang berterusan di dalam Sarawak, eloklah seorang Dayak diangkat menjadi TYT atau Gabenor. 


"Nama yang disebut–sebut oleh netizen adalah Yang Berbahagia Tan Sri Leo Moggie," tegasnya.


Mengulas lanjut, beliau memberitahu, untuk melantik TYT ia perlu persetujuan 2/3 Ahli Dewan Undangan Negeri. 


Katanya, perkara ini sangat mudah dilakukan oleh Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sekarang kerana mereka sudah mencapai 76 kerusi yang jauh daripada 2/3 iaitu 55 kerusi sahaja. 


Malah, beliau yakin Ahli Dewan Undangan Negeri pembangkang pasti menyokong usul ini menjadikannya boleh mencapai 100 peratus sokongan ahli Dewan Sarawak.


Pada masa sama beliau menjelaskan berdasarkan Perlembagaan Sarawak pemimpin Dayak yang sangat layak diangkat sebagai TYT Sarawak adalah Tan Sri Leo Moggie Irok.


Oleh demikian, katanya, Kerajaan Sarawak digesa untuk mengambil berat perkara ini untuk memberikan keadilan kepada rakyat Sarawak yang berbilang kaum supaya kerajaan Sarawak tidak dipandang serong hanya dikuasai oleh satu kaum dan agama sahaja.


"Semasa awal pembentukan Malaysia, Tan Sri Kalong Ningkan adalah Ketua Menteri Sarawak dan Gabenor pada masa itu adalah Tun Datuk Abang Haji Openg Bin Abang Sapiee.


"Maka sesuatu yang tidak mustahil perkara ini boleh dilaksanakan dalam era sekarang ini," tegasnya lagi.


Sebelum ini Voon turut mencadangkan Tan Sri Amar Leo Moggie dilantik sebagai TYT Sarawak kerana sumbangan dan pengalamannya terhadap negeri ini.

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.