Pasangan warga emas selisih maut, kereta terlibat kemalangan dengan lori

Pasangan warga emas selisih maut, Kereta terlibat kemalangan dengan lori di Jalan Batu Kawa

KUCHING-- Pasangan warga emas berselisih maut setelah kereta dinaiki mereka terlibat kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Batu Kawa di sini hari ini. 


Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan yang melibatkan pasangan berusia 66 dan 68 tahun itu sekitar jam 9.23 pagi tadi. 



"Akibat kemalangan ini pasangan warga emas tersebut tersepit dalam kereta mereka. 


"Ekoran itu, anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Lintang telah bergerak ke lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan hari ini. 


Tambahnya, komander operasi memaklumkan kemalangan melibatkan sebuah lori dan sebuah kereta kancil.



"Pemandu dan penumpang kereta kancil yang tersepit berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum pihak Bomba sampai ke lokasi kejadian," jelasnya. 


Katanya lagi, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan telah di serah kepada pihak ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan unit EMRS Bomba untuk dihantar ke Hospital Umum Sarawak. 


Manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan.


Menurutnya lagi, setelah keadaan terkawal dan selamat pasukan Bomba berangkat balik ke balai.


Operasi tamat sepenuhnya pada jam 9.54 pagi. 

LihatTutupKomentar