Mekanik menyamar polis, samun berkumpulan ditahan


KUALA LUMPUR-- Seorang mekanik motosikal ditahan polis awal pagi hari ini, disyaki terlibat kes menyamar sebagai anggota polis dan menyamun berkumpulan.


Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohamad Farouk Eshak berkata lelaki berumur 33 tahun itu, ditahan di rumahnya berhampiran Taman Putra Ampang di sini kira-kira pukul 1 pagi tadi.


Beliau berkata suspek bersama dua lagi rakannya telah menahan sebuah motosikal yang dinaiki dua remaja di Bukit Ampang dan mengaku sebagai anggota polis, sebelum memberitahu mangsa bahawa laluan tersebut tidak boleh dilalui.


“Mangsa kemudian beredar dari lokasi itu namun semasa di persimpangan lampu isyarat Taman Putra, mereka menyedari kesemua suspek sedang mengekorinya.


“Mangsa cuba melarikan diri, namun suspek telah menahan motosikal mereka dan salah seorang lagi suspek mengambil wang tunai RM20, sebuah telefon bimbit jenis Oppo serta mengambil gambar kad pengenalan mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Mohamad Farouk berkata polis turut merampas telefon bimbit suspek yang mengandungi gambar kad pengenalan mangsa selain pakaian, topi keledar dan motosikal yang digunakan, sewaktu kejadian.


“Suspek yang ditahan itu mempunyai lima rekod lampau jenayah dan satu rekod berkaitan dadah, manakala ujian saringan awal air kencing didapati positif dadah jenis methaphetamine dan benzodiazepine,” katanya.


Mohamad Farouk berkata suspek direman empat hari bermula hari ini hingga Jumaat dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan rompakan berkumpulan dan menyamar penjawat awam di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan.


Beliau berkata kini masih giat mengesan dua lagi rakan suspek yang turut sama terlibat dalam kes itu.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post