Malaysia tidak menuju ke arah krisis kewangan seperti 1997-1998, kata Tengku Zafrul

Menteri Kewangan Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR— Kementerian Kewangan menegaskan bahawa Malaysia tidak berhadapan atau menuju ke arah sebarang krisis ekonomi atau kewangan walaupun negara dilanda beberapa cabaran berpunca daripada faktor luaran yang berada di luar kawalan kerajaan.


Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata keadaan ekonomi negara kini amat jauh berbeza dengan keadaan semasa krisis kewangan Asia pada 1997 dan 1998.


“Asas-asas ekonomi dan sistem kewangan Malaysia kini jauh berbeza,” katanya semasa waktu pertanyaan-pertanyaan menteri ketika persidangan Dewan Rakyat di sini, pada Selasa.


Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Wong Hon Wai (DAP-Bukit Bendera) yang ingin tahu sama ada satu krisis kewangan sedang terbentuk berikutan nilai ringgit menjunam berbanding dolar Amerika Syarikat, kadar inflasi yang kian genting serta hutang kerajaan Persekutuan yang meruncing.


Tengku Zafrul berkata hal ini berikutan pelbagai pembaharuan ekonomi dan kewangan yang dilaksanakan susulan krisis kewangan Asia, seperti struktur ekonomi domestik yang lebih pelbagai, disokong oleh sistem kewangan yang bermodal baik dan kedudukan luaran yang kukuh.


“Sebagai contoh, pasaran kewangan negara sekarang sangat terbuka, dengan penyertaan pelabur asing yang tinggi, dan kita mempunyai lebihan akaun semasa, didorong oleh eksport yang pelbagai,” katanya. 


Beliau berkata setakat ini bagi 2022, akaun semasa kekal positif dengan jumlah RM3.0 bilion pada suku pertama dan RM4.4 bilion pada suku kedua.


Ekonomi menguncup sebanyak -7.4 peratus semasa krisis kewangan Asia, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menguncup -1.5 peratus semasa krisis kewangan global serta menguncup -5.5 peratus di puncak krisis COVID-19, katanya.


“Jika diimbas kembali mata wang kita telah jatuh hampir 54 peratus pada 1997, dengan kadar terendah sehingga RM4.88 bagi setiap US$1,” katanya. 


Tengku Zafrul berkata negara juga mengalami defisit akaun semasa pada 1997 dengan kekurangan melebihi RM16.7 bilion dan lebih 102,000 rakyat telah kehilangan pekerjaan, manakala kadar inflasi melonjak kepada 6.2 peratus pada Jun 1998 bagi sepanjang krisis tersebut.


“Pada hujung 1997, Bank Negara Malaysia telah meningkatkan kadar faedah kepada 11 peratus untuk menangani penurunan ringgit dan mengawal inflasi, dan mengekalkan tahap kadar faedah pada tujuh peratus menjelang hujung 1998,” katanya.

-- BERNAMA

Next Post Previous Post