Liputan 4G di Sarawak meningkat lebih 82 peratus kawasan berpenduduk

Liputan 4G di kawasan berpenduduk di Sarawak meningkat, liputan 4G di Sarawak meningkat kepada 82.84 peratus
Kampung di kawasan pedalaman Sarawak yang menikmati kemudahan jalur lebar 4G. Gambar arkib

KUALA LUMPUR-- Peratusan liputan 4G di kawasan berpenduduk di Sarawak meningkat kepada 82.84 peratus pada suku kedua tahun ini berbanding 73.67 peratus sebelum pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa 1 (2020-2022).


Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata setakat suku kedua 2022, sebanyak 91 tapak menara baharu telah dibina di negeri itu, manakala 3,082 naik taraf stesen pemancar dan 523 jalur lebar satelit disiapkan dan 79,766 premis tersedia dengan gentian optik.


"Penambahbaikan liputan ke seluruh negara termasuklah di kawasan luar bandar dan pedalaman akan diteruskan melalui Pelan JENDELA Fasa 2 (2023-2025)," katanya pada sesi soal jawab.


Beliau menjawab soalan Datuk Seri Richard Riot Jaem (GPS-Serian) mengenai komitmen kementerian berkenaan dalam memastikan liputan jalur lebar yang menyeluruh dan stabil di kawasan pedalaman Sarawak dapat direalisasikan.


Zahidi berkata kesemua inisiatif itu melibatkan peruntukan kerajaan melalui Program Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP) dan pelaburan komersial oleh syarikat pemberi perkhidmatan melebihi RM4 bilion di Sarawak.


Beliau berkata daripada jumlah tersebut, sejumlah RM2.12 bilion telah siap dilaksanakan manakala baki RM1.9 bilion lagi dalam peringkat pelaksanaan.


Zahidi berkata selain pembinaan menara-menara telekomunikasi melalui projek Pelan JENDELA dan satelit, pihak kerajaan turut melaksanakan penyediaan infrastruktur jalur lebar menggunakan kaedah Point of Presence (PoP).


Menurutnya secara keseluruhan, Projek PoP Fasa 1 akan melibatkan 630 lokasi dan Fasa 2 pula meliputi 3,693 lokasi berhampiran sekolah di kawasan luar bandar di seluruh negara, sementara jumlah PoP secara keseluruhan di Sarawak adalah sebanyak 741.


"Daripada jumlah tersebut, lima kawasan berhampiran sekolah luar bandar di Parlimen Serian dan satu kawasan di Parlimen Betong akan terlibat dengan pelaksanaan PoP Fasa 1 manakala bagi Fasa 2 pula sebanyak 31 di Parlimen Serian dan 20 di Parlimen Betong," katanya.


-- BERNAMA

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.