Lelaki maut selepas bergaduh kerana baja

Mangsa dikatakan secara tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri berdekatan motosikal miliknya. Gambar media sosial 

IPOH— Seorang lelaki maut dipercayai selepas bergaduh, gara-gara menuduh seorang individu mencuri baja miliknya dalam kejadian di Bagan Tiang, Tanjung Piandang, dekat sini, petang semalam.


Ketua Polis Perak Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata pihaknya menahan suspek lelaki berusia 40 tahun di sebuah rumah yang terletak kira-kira 100 meter dari tempat kejadian pada kira-kira pukul 6 petang.


"Suspek mengaku telah bergaduh dengan mangsa yang berusia 47 tahun. Mangsa telah menahan suspek yang sedang menunggang motosikal di tengah jalan sebelum terus mencekak baju dan menumbuk suspek namun, tumbukan hanya terkena sedikit di bahagian pipi," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.


Menurutnya suspek kemudian bertindak membalas dengan menumbuk mangsa pada bahagian hidung dan berlaku pergelutan antara mereka yang masing-masing bekerja sendiri sehingga kedua-duanya jatuh ke dalam tali air berhampiran.


Beliau berkata setelah naik ke darat, beberapa penduduk kampung yang melalui tempat kejadian telah meleraikan pergaduhan tersebut dan suspek beredar pulang ke rumahnya namun mangsa dikatakan secara tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri berdekatan motosikal miliknya.


Mohd Yusri berkata pasukan Forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak telah ke tempat kejadian untuk mengumpul barang bukti dan ujian saringan air kencing terhadap suspek mendapati positif dadah jenis Methampethamine.


Katanya siasatan dijalankan mengikut  Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan permohonan reman terhadap suspek yang mempunyai pelbagai rekod jenayah termasuk kes dadah itu akan dilakukan di Mahkamah Majistret Parit Buntar hari ini.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post