Bahayakan pengguna jalan raya, penjaja dipindahkan


BETONG: Mulai 1 November peniaga tepi jalan yang berjual di kawasan berdekatan lot kedai Simpang Perumahan Bebanggai dekat sini akan dipindahkan ke tapak baharu yang lebih sesuai dan selamat.


Menurut jurucakap Majlis Daerah Betong (MDB), peniaga di kawasan terbabit terpaksa dipindahkan setelah menerima banyak laporan berkenaan keselamatan pengguna jalanraya yang melalui jalan tersebut.



"Laporan yang di terima berkenaan laluan tersebut agak sesak apabila ramai yang memberhenti kenderaan ditepi jalan untuk membeli jualan dan berbahaya kepada pengguna jalanraya yang menggunakan jalan tersebut selain timbul kesesakan dan sukarnya untuk keluar simpang terutamanya waktu puncak.


"Disebabkan masalah yang timbul berpunca daripada para pembeli yang kebanyakannya pelanggan tetap yang singgah untuk membeli kuih muih dan lauk pauk yang dijual dalam pelbagai jenis termasuk minuman telah menimbulkan kerisauan berlakunya perkara yang tidak diingini.



"Merujuk kepada laporan yang di terima, sebagai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang bertanggungjawab MDB telah mengambil inisiatif untuk menyediakan tapak baru di kawasan letak kereta yang berhadapan dengan lot kedai makan di kawasan yang sama cuma tempat dialihkan bagi mengelak risiko kepada peniaga, pembeli dan pengguna jalanraya yang lain.


"Kita berharap dengan pemakluman awal yang dibuat, pembeli terutamanya tidak terkejut akan perubahan tempat dan mencari dimana tempat yang baharu," katanya.


Beliau berkata demikian semasa ditemui ketika menyedia dan menentukan ukuran tapak baru untuk persempadanan lot peniaga.


Tambahnya Bahagian Penguatkuasa MDB menyediakan ruang yang mencukupi bagi menempatkan peniaga di tapak baru nanti.


"Bagi memastikan lot mencukupi untuk peniaga, pembahagian ruang turut kita ukur, sebanyak 15 lot disediakan. Selain itu, mereka juga akan dikenakan bayaran bagi setiap lot yang disediakan merujuk kepada amaun yang ditetapkan oleh Jabatan.


"Walau bagaimanapun diharap para peniaga mematuhi arahan yang telah dikeluarkan dan berpindah ke kawasan baharu yang diluluskan dan lebih selamat," tegasnya.

Next Post Previous Post