Lelaki maut dihempap kereta ketika curi ekzos

Seorang lelaki maut selepas dihempap kereta setelah alat ‘jack” yang digunakan tergelincir ketika sedang mengeluarkan ekzos kenderaan tersebut di tepi jalan. Gambar tular

SHAH ALAM— Seorang lelaki maut selepas dihempap kereta setelah alat ‘jack” yang digunakan tergelincir ketika sedang mengeluarkan tabung ekzos kenderaan tersebut di tepi jalan Taman Jaya Utama, Telok Panglima Garang, dekat sini semalam.


Ketua Polis Daerah Kuala Langat Supt Ahmad Ridhwan Mohd Nor@Saleh berkata hasil siasatan mendapati kejadian dipercayai berlaku antara pukul 4 hingga 6 pagi ketika mangsa, seorang warga tempatan berusia 40 tahun dan rakannya disyaki sedang mencuri tabung ekzos kereta berkenaan.


“Tiba-tiba alat pengangkat kereta yang digunakan terjatuh menyebabkan mangsa maut dihempap bahagian tengah kereta itu. Kes disiasat dibawah kematian mengejut (SDR),” katanya dalam kenyataan hari ini.


Ahmad Ridhwan berkata bertindak atas maklumat, pihaknya telah menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 32 tahun disyaki rakan mangsa di sekitar kawasan Telok Panglima Garang, pada 10.45 pagi semalam.


“Suspek mempunyai tujuh rekod jenayah melibatkan kes curi ekzos dan pecah rumah serta dua rekod berkaitan kes dadah,” katanya menambah kes disiasat di bawah Seksyen 379/511 Kanun Keseksaan kerana cubaan mencuri dan suspek akan direman hari ini.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post